BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap projek Rumah Pam Permatang Tinggi yang dilaksanakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta dijadual mula beroperasi pada hujung tahun ini akan dapat menangani isu tekanan air rendah sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) terutama di Mukim 5.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan Parlimen P046 Batu Kawan berkata demikian selepas mengikuti taklimat ringkas daripada Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. K. R. N. Pathmanathan di tapak projek rumah pam sementara tersebut dekat sini pada 9 November 2022.
“(Di Pulau Pinang terutama di daerah SPS), kita sebenarnya menghadapi dua isu iaitu masalah bekalan (air terawat) dan permintaan (sumber air mentah).
“Beberapa tahun kebelakangan ini (daerah SPS) menghadapi masalah tekanan air (yang rendah) dan gangguan bekalan air terawat terutama pada waktu puncak.
“Bagi Seberang Perai Selatan (SPS), kita perlu memberi perhatian khusus memandangkan dalam satu tahun ini, isu bekalan air (terawat ke daerah) SPS sudah menjejaskan mutu kehidupan rakyat jelata dan pengoperasi (sektor berkaitan) perniagaan dan industri.
“(Sehubungan itu), projek yang kita saksikan ini adalah (projek) jangka pendek bagi menambah kapasiti bekalan air (mentah) dan bekalan air terawat ke daerah SPS),” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi kepada pemberita.
Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan Fadhlina Sidek (calon PH bagi kawasan Parlimen P047 Nibong Tebal) turut sertai lawatan tapak projek serta sidang media tersebut pagi tadi.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa projek pemasangan pam sementara di Rumah Pam Permatang Tinggi yang dijangka siap sepenuhnya pada 30 November ini mampu beroperasi dalam kapasiti 16 juta liter sehari (MLD).
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut menjelaskan mengenai pengoperasian Loji Rawatan Air Bukit Panchor sedia ada yang mampu mengabstrak sumber air mentah dari Sungai Kechil dekat kawasan Parlimen Nibong Tebal dengan kapasiti maksimum 11MLD.
Pathmanathan memberitahu bahawa PBAPP dalam usaha menaik taraf loji rawatan air sedia ada di Bukit Panchor dekat kapasiti tambahan maksimum 10 MLD yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Ogos tahun depan.
Menurut beliau, projek tersebut akan meningkatkan kapasiti mengabstrak sumber air mentah dari Sungai Kechil dekat Nibong Tebal, sekali gus meningkatkan tekanan air terawat ke kira-kira 4,000 pemegang akaun bil air sekitar daerah SPS termasuk Kampung Sungai Kechil, Kampung Sungai Kechil Hilir, Kampung Sungai Buaya, Kampung Besar, sekitar daerah Perda Tech, Taman Pekaka, Taman Sempadan, Taman Ilmu, Kampung Transkerian dan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di daerah tersebut.
Dalam perkembangan lain, masuk hari kelima kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan pasukan Kon Yeow melawat serta sarapan di Restoran How Kee Seafood Village pada 8.30 pagi tadi.
Kemudiannya, sekitar 9.30 pagi pasukan kempen Kon Yeow meneruskan agenda kempen dengan mengadakan jerayawara Ho Chiat Kieh di sini.