SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa berusaha bagi memantapkan lagi hubungan kaum di negeri ini supaya kekal dalam keadaan harmoni.
Menurutnya, masyarakat berbilang kaum di negeri, hari ini bersikap saling memahami dan menghormati bukan sahaja daripada segi hubungan malah juga pemakanan.
“Perkara ini berlaku bukan sahaja pada musim perayaan, malah sudah menjadi budaya dan identiti dalam masyarakat kita.
“Model perpaduan ini akan dijadikan panduan untuk kita semua agar menjadi lebih peka dan mengenali budaya, agama serta menjaga sensitiviti setiap masyarakat di sekililing kita.
“Saya amat berharap agar kita semua dapat terus mengekalkan keharmonian dengan menghormati amalan, kepercayaan dan budaya semua kaum termasuk soal sensitiviti agama.
“Justeru, marilah kita bersama-sama menyemarakkan budaya muhibah dalam kalangan seluruh rakyat negeri ini yang terkenal sebagai model negeri contoh dalam pelbagai aspek pembangunan,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat SP Arena di sini, 13 Februari 2019.
Hadir sebagai tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri.
Turut sama memeriahkan majlis, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.
Barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli-Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Konsul-Konsul dan Konsul Kehormat; Ketua-Ketua Jabatan Negeri serta Persekutuan turut hadir.
Selain menikmati pelbagai juadah istimewa seperti sate, cha kuetiaw dan banyak lagi, hadirin juga turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian serta tarian tradisional masyarakat di negeri ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga komited dalam memastikan segala perancangan negeri ini selaras dengan Visi Penang2030 yang menjurus kepada peningkatan kualiti kehidupan dan pendapatan isi rumah serta persekitaran fizikal yang lebih baik.
“Pelbagai pelan telah direncana oleh Kerajaan Negeri mengikut kesesuaian masa dan keadaan sehingga membuahkan banyak kejayaan hasil gandingan mantap antara rakyat dan pemimpin.
“Oleh itu, semua perancangan dan pembangunan di negeri ini pada masa akan datang akan lebih bersifat holistik dan inklusif serta berlandaskan kepada nilai kekeluargaan,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD