Kerajaan Negeri sentiasa perhalusi garis panduan cadangan pembangunan penempatan pekerja asing

Admin
tkm1119i

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memperhalusi garis panduan dalam cadangan perancangan dan pembangunan penempatan pekerja bukan warganegara atau pekerja asing sedia ada dari semasa ke semasa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pembangunan penempatan pekerja asing secara berpusat (CLQ) adalah bagi menangani isu penempatan pekerja asing.

Isu penempatan pekerja asing sering dan sudah lama menjadi isu setempat yang mana mereka ini ditempatkan di merata-rata tempat termasuk di kawasan kediaman.

“(Kehadiran) pekerja-pekerja asing di kawasan kediaman telah membawa impak sosial serta menimbulkan kacau ganggu kerana mereka kurang faham adat dan cara hidup di sini.

“Sepatutnya pihak majikan atau agen pekerja terbabit perlu bertanggungjawab (menyediakan penginapan), namun mereka mengambil jalan mudah dengan menempatkan pekerja-pekerja asing ini di taman-taman perumahan.

(Oleh yang demikian), tujuan (Kerajaan Negeri) membenarkan pembangunan (penginapan pekerja asing) adalah untuk menangani impak sosial dan supaya pekerja-pekerja asing ini dapat dipindahkan ke asrama yang lebih sesuai.

“(Melalui pembangunan) projek-projek ini, kemudahan asas seperti kedai runcit, kedai gunting rambut dan dobi disediakan (di kawasan penginapan pekerja asing) tertakluk kepada pihak pengurusan asrama berkaitan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar tadi.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri turut memberi pertimbangan untuk meluluskan pembangunan penempatan pekerja asing bersandarkan garis panduan sedia ada.

“Hal ini kerana, ia turut membabitkan isu hak asasi kemanusiaan dan pematuhan beberapa piawaian lain termasuk piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) oleh pihak majikan.

Penempatan yang dibangunkan mestilah sesuai dihuni dengan kemudahan asas disediakan.

“Malah, pihak swasta yang berminat menyediakan kemudahan ini juga perlu melihat garis panduan dan pematuhan yang ditetapkan.

“Sama seperti kebanyakan projek pembangunan lain yang mana pemohon perlu melaksanakan Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Trafik (TIA) dan lain-lain pematuhan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Bercakap mengenai cadangan pembangunan penginapan pekerja di Juru, Kon Yeow memberitahu bahawa pihak jururunding kini sedang melaksanakan SIA.

“Pada peringkat ini, jururunding akan mendapatkan pandangan dan reaksi penduduk di sekitar kawasan cadangan tapak pembangunan yang mana pada peringkat ini para penduduk boleh menyuarakan pandangan masing-masing,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD