Kerajaan Negeri sentiasa utamakan kebajikan rakyat – Ketua Menteri

Admin
img 20240207 wa0096

BERTAM – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat, di samping memfokuskan kepada pembangunan sosial serta ekonomi secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa salah satu usaha diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan melaksanakan pembangunan yang seimbang dan mampan terutamanya di bahagian Seberang Perai.

“Saya sering menyatakan bahawa Seberang Perai adalah masa depan Pulau Pinang.

“Ini kerana masih terdapat banyak ruang di bahagian Seberang Perai yang boleh dibangunkan secara seimbang demi kesejahteraan penduduknya.

“Justeru, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembangunan seimbang di antara Seberang Perai dan bahagian pulau demi manfaat rakyat negeri ini,” katanya ketika berucap pada Program Rumah Terbuka dan Penyampaian Hamper sempena Tahun Baru Cina dekat sini sebentar tadi.

img 20240207 wa0097

img 20240207 wa0094

img 20240207 wa0093

img 20240207 wa0090

img 20240207 wa0089

img 20240207 wa0088

img 20240207 wa0086

img 20240207 wa0087

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; isteri kepada ADUN Bertam, Datin Seri Ismalina Ismail; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi; Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali; barisan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta ramai lagi.

Menyentuh mengenai Parlimen Kepala Batas, Kon Yeow menyatakan bahawa penubuhan taman industri di Pinang Tunggal yang menempatkan industri-industri berteknologi tinggi akhirnya dapat diwujudkan sebagaimana yang dirancang.

“Akhirnya, disebabkan pembangunan ini memenuhi pengezonan tanah sebagai kawasan industri, maka tertubuhlah taman industri pertama di kawasan ini.

“Ini adalah suatu perkara yang baik untuk kawasan Kepala Batas dan kita berharap agar apa yang diwujudkan oleh industri-industri ini akan membawa manfaat kepada masyarakat setempat.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memastikan industri yang diwujudkan di sini adalah mampan supaya pembangunannya tidak akan menjejaskan alam sekitar serta kesejahteraan penduduk di kawasan ini,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menurut Kon Yeow, beliau juga komited untuk terus memastikan Pulau Pinang dibangunkan dengan sebaiknya melalui urus tadbir yang baik dan muncul sebagai sebuah negeri dinamik dari segi pembangunan sosioekonomi.

“Sebagai Ketua Menteri, saya memberi komitmen untuk terus memastikan Pulau Pinang dibangunkan dengan sebaiknya termasuk pembangunam industri yang dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan kepada penduduk di negeri ini.

“Semoga setiap sektor industri di negeri ini dapat menikmati pertumbunan yang sekali gus membolehkan rakyat hidup dengan selesa serta mendapat peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

“Pada masa sama, peluang pendidikan, perubatan dan kebebasan mengamalkan budaya dan agama masing-masing dapat dijaga dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ismalina ketika berucap sebelum itu turut menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama dalam kerangka Kerajaan Perpaduan demi kesejahteraan rakyat.

Pada majlis tersebut, sebanyak 400 hamper diagihkan kepada warga emas dan golongan memerlukan sempena smabutan Tahun Baru Cina, khususnya di kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Mereka turut dihidangkan dengan pelbagai juadah enak seperti laksa, putu mayam, rojak, mi goreng dan banyak lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS