Kerajaan Negeri tanggung 100% penyelenggaraan lif ‘Flat 16 Tingkat’

TANJUNG BUNGA – Kerajaan Negeri menanggung 100 peratus kos penyelenggaraan dua unit lif di Flat Uda Fasa II dan Fasa III dekat Jalan Tanjong Tokong.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri menanggung sepenuhnya 100 peratus kos penyelenggaraan dua unit lif di sini.

“Kos keseluruhan adalah RM175,400 yang mana 80 peratus dibiayai melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) dengan kos RM140,320.

“Manakala baki yang sepatutnya dibiayai oleh penduduk (melalui Perbadanan Pengurusan) ditanggung sepenuhnya oleh ADUN kawasan ini dengan kos RM35,080.

“(Dan) ini menjadikan kos penyelenggaraan dua unit lif di sini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya ketika hadir mengumumkan perkara tersebut pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Ainul Fadhilah Samsudi; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) P.R. Kaliyappan serta wakil Persatuan Penduduk Flat Uda Fasa II dan Fasa III.

JAGDEEP Singh Deo (berkemeja biru) menyerahkan surat kelulusan peruntukan dana penyelenggaraan kepada wakil Persatuan Penduduk Flat Uda Fasa II & Fasa III Tanjung Tokong sambil diperhatikan oleh Zairil Khir Johari (tengah), ‘Ainul Fadhilah Samsudi (kiri sekali) dan P.R.Kaliyappan (kanan sekali).

Dalam pada itu, Zairil ketika ditemui pemberita berkata, beliau telah menerima banyak permohonan dan rungutan daripada penduduk flat berkenaan ekoran masalah infrastruktur yang meruncing.

“Kita (pihaknya) akan lihat satu-persatu masalah yang disuarakan penduduk dan cuba menyelesaikannya, cuma buat masa ini, saya lihat masalah kerosakan lif perlu diberi keutamaan (untuk diselesaikan).

“Terdapat dua unit di sini, adakalanya kedua-duanya rosak dan menyusahkan penduduk terutamanya warga emas dan ibu mengandung di sini,” katanya.

Difahamkan, Flat Uda Fasa II dan Fasa III atau lebih dikenali sebagai ‘Flat 16 Tingkat’ dalam kalangan penduduk setempat merupakan kediaman bertingkat di bawah seliaan UDA Holdings Berhad, namun tidak diselenggarakan sebaiknya.

“Oleh itu, kita tidak mahu tunggu lagi dan mengambil tindakan segera untuk membantu penduduk di sini dengan menaik taraf lif di sini.

ZAIRIL Khir Johari.

“Lagipun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Exco (Jagdeep) telah menyatakan komitmen kepada rakyat Pulau Pinang untuk membantu dalam aspek penyelenggaraan sama ada melalui dana (Kerajaan) Negeri atau mendapatkan dana daripada (Kerajaan) Pusat,” jelasnya yang turut mengambil inisiatif memasang lapan unit kamera litar tertutup (CCTV) dengan kos RM4,850 demi menjamin keselamatan penduduk di sini.

Kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf dua unit lif di sini dijangka siap menjelang pertengahan bulan Januari 2019.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG