Kerajaan Negeri tarik pelabur hidupkan sektor pelancongan pasca pandemik

Admin

PADANG KOTA – Pasca pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri berjaya menarik beberapa pelaburan berbentuk pelancongan dalam menghidupkan kembali sektor terbabit.

 


Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata kejayaan Kerajaan Negeri dalam merancak dan mengembangkan industri pelancongan juga telah memberi keyakinan kepada pasaran sektor pelancongan serta menarik minat pelabur-pelabur perhotelan ke Pulau Pinang.

 

 

“Antara hotel-hotel baharu yang telah beroperasi dan bakal beroperasi di Negeri Pulau Pinang termasuk Ascott Gurney Penang, Amari Spice Penang, The George Penang, Crowne Plaza Penang, Citadines Connect George Town, Harris Hotel dan Le Méridien dan Penang Intercontinental Resort.

 

 

“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga bertindak pantas dalam usaha mengembalikan penerbangan antarabangsa mahupun menambah laluan penerbangan terus antarabangsa dalam tempoh yang singkat selepas pembukaan sempadan Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 April 2022.

 

 

“Antara penerbangan antarabangsa yang sedang beroperasi termasuk Banda Aceh, Denpasar yang merupakan laluan penerbangan terus baharu, Jakarta, Medan ,Surabaya, Singapura, Taipei, Thailand, Ho Chi Minh City dan Hong Kong yang akan beroperasi mulai Disember 2022,” ujar Soon Hin ketika menggulung perbahasan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini hari ini.

 

 

Tambah Soon Hin, Kerajaan Negeri juga sedang berusaha menerokai pasaran Eropah, Amerika Syarikat, India, Wilayah Timur Tengah dan sebagainya bagi menarik pelancong-pelancong dari pasaran sasaran tersebut ke negeri ini.

 

 

“Baru-baru ini, pengusaha-pengusaha pelancongan dari Islamic Republic of Iran juga telah mengunjungi dan melaksanakan kajian pasaran di Negeri Pulau Pinang.

 

 

“Ini secara tidak langsung menunjukkan  kejayaan Kerajaan Negeri yang mengadakan pelbagai usaha untuk menerokai pasaran baru.

 

 

“Pada masa kini, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji kebolehlaksanaan membangunkan ‘Songkhla-Penang Tourism Corridor’ untuk bekerjasama dan mempromosikan kegiatan-kegiatan pelancongan dan ekonomi kreatif secara dua hala antara Negeri Pulau Pinang dan Thailand.

 

 

“Selain itu, tarikan baharu seperti sunset cruise yang bakal dilancarkan Disember ini diharap mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

 

 

Pada sesi penggulungan tersebut, Soon Hin turut menyentuh mengenai pemuliharaan bangunan warisan, Michelin Guide yang bertujuan mengukuhkan Pulau Pinang sebagai destinasi syurga makanan dan memperkembangkan sektor ekonomi kreatif sebagai penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD