Kerajaan Negeri tawar pakej saguhati kepada nelayan terkesan projek PSR

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan skim cadangan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi menangani kesan daripada projek tambakan laut di perairan selatan pulau Pulau Pinang (PSR) terhadap nelayan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa skim tersebut merangkumi pakej pemberian saguhati serta program-program yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada 1,615 orang nelayan yang terlibat.

Jumlah saguhati yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri kepada nelayan terjejas mengikut tahap.

“Mereka yang menerima manfaat daripada skim SIMP ini adalah nelayan berlesen dan ahli unit nelayan dari Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul (Tahap 1), Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong serta Kuala Sungai Burong (Tahap 2).

“Tekong dan awak-awak daripada unit Tahap 1 masing-masing akan menerima RM20,000 dan RM12,960 manakala bagi Tahap 2 pula masing-masing menerima RM13,200 dan RM5,400.

“Tekong Tahap 1 juga akan ditawarkan bot dengan kepanjangan 27 kaki persegi berserta enjin berkuasa kuda 60 atau 75 untuk membolehkan nelayan menangkap ikan di lokasi yang lebih jauh setelah pulau PSR dibentuk kelak.

“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa tawaran bot berserta enjin ini adalah paling sesuai dan memenuhi keperluan tekong-tekong Tahap 1 untuk meneruskan pekerjaan sebagai nelayan,” katanya pada sidang media dekat Komtar pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Datuk Seri Farizan Darus; Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), M. Maheswari serta wakil SRS Consortium, Adil Putra Ahmad.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin sebagai mengulas lanjut berkata, pakej saguhati tersebut dibayar secara berperingkat dengan pendahuluan sebanyak RM500 akan dibayar kepada sembilan unit nelayan terlibat melalui pemindahan dana elektronik (EFT) pada Februari hingga Mac 2021.

“Bayaran pendahuluan ini akan dibuat setelah nelayan mendaftar maklumat dan butiran mereka di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul mulai 8 Februari ini.

“Manakala jumlah saguhati selebihnya akan dibayar dalam dua ansuran iaitu 75 peratus pada Mac 2021 dan 25 peratus lagi pada Januari 2022,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan.

Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

 

Selain bayaran saguhati, beliau memberitahu bahawa SIMP turut mencadangkan pembinaan empat buah jeti baharu dengan jeti utama adalah sebuah jeti serba guna di Permatang Tepi laut yang berpotensi dibangunkan sebagai tarikan pelancong.

“Tiga lagi jeti nelayan terletak di Sungai Batu, Teluk Kumbar serta Gertak Sanggul yang dilengkapi dengan kemudahan diperlukan oleh nelayan dan akan dibina secara berperingkat.

“Pembinaan jeti-jeti baru ini selaras dengan hasrat dan prinsip Kerajaan Negeri untuk memberi kemudahan lebih baik kepada komuniti nelayan selain manfaat yang bakal diwujudkan daripada pelaksanaan projek PSR,” ujarnya.

Jelasnya lagi, semua cadangan tersebut telah dibentangkan kepada Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) pada 23 Oktober 2020 untuk mendapatkan maklum balas serta cadangan balas daripada komuniti nelayan.

“Walau bagaimanapun, dalam perjumpaan pada 28 Disember 2020, Pen Mutiara berkata bahawa mereka tidak akan memberikan sebarang maklum balas sehingga rayuan kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) yang dikemukakan oleh mereka diputuskan.

Ilustrasi pulau-pulau bagi projek PSR.

“(Dan) memandangkan Pen Mutiara tidak bersedia untuk berunding, maka Kerajaan Negeri terpaksa mengambil pendekatan mengumumkan cadangan SIMP serta mendapatkan maklum balas daripada komuniti nelayan,” ulasnya.

Justeru katanya, semua nelayan Tahap 1 dan Tahap 2 disaran supaya memberi maklum balas dengan mengemukakan butiran peribadi termasuk nombor akaun bank, maklumat ahli nelayan serta pendaftaran bot.

“Mereka boleh hadir ke PPSN Permatang Damar dan Gertak Sanggul dari jam 9 pagi hingga 1 petang atau dari 2 petang hingga 6 petang.

“Memandangkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa, maka hanya lima orang nelayan sahaja dibenarkan berada di PPSN pada satu masa,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Farizan memaklumkan bahawa projek PSR akan dimulakan pada akhir Mac atau awal April ini selepas Kerajaan Negeri menerima kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang dikemukakan pada Januari lalu.

Farizan Darus.

“Kerja-kerja tambakan laut akan dilakukan mengikut fasa bermula di Pulau A dengan kadar tambakan yang terkawal iaitu 25 ekar sebulan.

“Adalah ditegaskan bahawa kita akan mengikuti semua syarat-syarat yang  dikemukan dalam kelulusan EIA bagi mengawal kesan daripada projek PSR untuk membolehkan nelayan melakukan aktiviti mereka seperti biasa,” katanya.

Difahamkan, projek PSR seluas 4,500 ekar bakal merangkumi Pulau A (2,300 ekar), Pulau B (1,400 ekar) dan Pulau C seluas 800 ekar.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD