Kerajaan Negeri tegas patuhi undang-undang dalam pelaksanaan projek Silicon Island

Admin
whatsapp image 2024 07 11 at 14.42.09

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam pelaksanaan projek tambakan laut Silicon Island.

Beliau berkata demikian sebagi menjawab soalan pemberita berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini yang menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan tujuh nelayan dan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghentikan projek tersebut.

“Sejak awal pelaksanaan projek tersebut sehingga sekarang, saya menegaskan bahawa pihak Kerajaan Negeri akan mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan projek penambakan laut Silicon Island.

“Dalam kes ini, mereka mempersoalkan mengenai kelulusan Impak Penialaian Alam Sekitar (EIA) yang diberikan, tetapi kita tegaskan bahawa kita memang telah melalui semua proses yang ditetapkan di bawah undang-undang.

“Namun, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang masih ingin mencabar keputusan tersebut kita akan menunggu keputusan (mahkamah) dengan sabar, itulah komitmen kita,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 dekat sini sebentar tadi.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon semasa penghakiman berkata bahawa mahkamah mendapati tiada sebarang tindakan menyalahi undang-undang, ketidakwajaran atau keadaan tidak rasional berhubung kelulusan projek Silicon Island.

Beliau turut menyatakan antara sebab lain permohonan itu ditolak adalah kerana kes tersebut difailkan di luar masa ditetapkan, mengambil kira tarikh pengumuman projek berkenaan oleh Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) sebagai asas permohonan iaitu pada 1 September tahun lalu.

Pada 1 September tahun lalu, media melaporkan bahawa Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Silicon Island telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada 21 Julai.

Kon Yeow berkata, ia adalah susulan daripada kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) PSI) yang diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS pusat melalui surat bertarikh 11 April 2023.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS