Kerajaan Negeri teliti penamatan kontrak syarikat konsesi tapak pelupusan sampah Pulau Burung

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedang menjalankan proses penelitian penamatan kontrak syarikat konsesi tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang dijangka tamat pada 5 April ini selepas pemberian penambahan masa (EOT).

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, keputusan itu dibuat melalui dua mesyuarat Exco baru-baru ini setelah Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membentangkan laporan-laporan berkaitan sebelum ini.

 

“Pihak MBSP kini sedang menyediakan garis masa sekiranya kontrak ini ditamatkan, malah (MBSP) juga menyediakan garis masa untuk mengoperasikan tapak pelupusan tersebut secara interim (sementara) sebelum sebuah syarikat, mungkin dengan teknologi baharu dilantik.

 

“Serentak itu, notis juga telah disampaikan kepada syarikat berkenaan tentang niat dan tujuan ini,” ujarnya sejurus Majlis Menandatangami Memorandum Persefahaman (MoU) antara Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) bersama-sama Malaysian Aviation Group (MAG) dekat Komtar di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, G. Ashwin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Izham Ismail.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa kebakaran di Pulau Burung yang berlaku pada 12 Januari 2022 hingga 1 Februari 2022 telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.

 

“Kerja-kerja tambakan tanah oleh syarikat konsesi masih diteruskan dan bahagian-bahagian yang berkenaan telah ditutup dengan tanah-tanah merah.

 

“(Dan) kerja-kerja ini akan diteruskan di semua kawasan atas tapak pelupusan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah, Ekonomi & Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD