Kerajaan Negeri terima dua pengiktirafan MBOR melalui peganjuran Karnival Olimpik Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) susulan menjadi satu-satunya negeri yang mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Olimpik pada tahun 2019 dan 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Datuk Seri Dr. Micheal Tio memberitahu bahawa pengiktirafan tersebut diberikan dengan mengambil kira usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan.

Datuk Seri Dr. Micheal Tio menyerahkan sijil pengiktirafan MBOR kepada Soon Lip Chee susulan kejayaan Kerajaan Negeri menganjurkan Karnival Olimpik pada tahun 2019 dan 2022 sambil disaksikan oleh Ketua Menteri.

“Atas kejayaan penganjuran ini, MBOR berbesar hati mengiktiraf Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai ‘negeri pertama menganjurkan Karnival Olimpik Malaysia pada tahun 2019’, dan ‘negeri pertama menganjurkan Karnival Olimpik Malaysia dua kali berturut-turut pada tahun 2019 dan 2022’.

“Kami berharap agar pengiktirafan ini dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan lebih aktif,” katanya pada sidang media pada majlis penyerahan sijil pengiktirafan MBOR kepada Kerajaan Negeri dekat sini sebentar tadi.

Kedua-dua sijil pengiktirafan tersebut diserahkan oleh Micheal Tio kepada Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee sambil disaksikan oleh Kon Yeow dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang); Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam); A. Kumaresan (ADUN Batu Uban) serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua.

Kerajaan Negeri turut menerima subsidi berjumlah USD10,000.

Kon Yeow berkata bahawa pengiktirafan yang diterima oleh Kerajaan Negeri melalui MSNPP merupakan kejayaan manis buat Pulau Pinang selaras dengan visi untuk menyemarakkan lagi semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada MOM atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi penganjuran ini.

“Sesungguhnya, pemilihan ini bukan sahaja merupakan salah satu bentuk pengiktirafan, sebaliknya ia juga memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada negeri Pulau Pinang terutama dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet dan bakat-bakat muda.

“Semoga pengiktirafan ini dapat membina keyakinan dan mengekalkan momentum kita semua untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya pada majlis tersebut.

Sementara itu, Mohamad Norza semasa mengesahkan kedua-dua pengiktirafan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Lip Chee kerana mencetuskan idea penganjuran Karnival Olimpik secara besar-besaran di negeri ini.

“Dalam rekod kami, Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019 yang mengandungi empat jenis sukan telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Negeri mulai 12 hingga 22 Jun.

“Kemuncak Karnival Olimpik pada tahun tersebut adalah Sambutan Hari Olimpik Sedunia pada 23 Jun 2019 dengan penganjuran ‘Olympic Day Family Fun Walk’ yang disertai lebih 10,000 peserta termasuk Ketua Menteri sendiri.

“Pada tahun lepas, YB Soon Lip Chee sekali lagi mengemukakan cadangan Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang 2022 dengan hasrat untuk mengembangkan lagi nilai-nilai sukan olimpik dan semangat kesukanan pada peringkat akar umbi.

“Berdasarkan rekod kami, Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang 2022 mengandungi sembilan program keseluruhan yang dianjurkan mulai 15 Mei hingga 22 Jun 2022 membabitkan semua lima daerah di negeri Pulau Pinang.

“Sukacita diumumkan bahawa penganjuran Hari Olimpik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun ini turut mendapat liputan meluas di seluruh dunia dan disiarkan dalam laman web beberapa badan sukan antarabangsa,” katanya.

Tambah Mohamad Norza, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah banyak menyumbang ke arah pergerakan Olimpik Malaysia sejak tahun 1993, malah ia telah meletakkan pergerakan olimpik di tanda aras yang lebih tinggi.

“Juseru, saya berharap agar momentum pergerakan olimpik yang diterajui oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat diselaraskan dengan ‘Visi Penang2030 – Meningkatkan Daya Huni Bagi Menambah Baik Kualiti Kehidupan’ seluruh rakyat di negeri ini,” ujarnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN