GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk meneruskan pembiayaan tambang perkhidmatan feri percuma bagi tempoh satu tahun lagi mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2022.
Perkara tersebut diumumkan oleh Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari dalam satu sidang media ketika meninjau perkhidmatan tersebut di Jeti Swettenham dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di sini pagi tadi.
“Sejak 1 Julai 2021, Kerajaan Negeri telah melancarkan program feri percuma dengan pembiayaan tambang oleh Kerajaan Negeri untuk penumpang pejalan kaki dan warganegara Malaysia agar mereka dapat menikmati perkhidmatan ini setiap hari dan setiap masa.
“Digandingkan pula dengan program Pas Mutiara bagi perkhidmatan Rapid Penang, ia sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang mana keseluruhan jaringan pengangkutan awam sama ada melalui air atau darat adalah percuma.
“Penumpang hanya perlu membawa MyKad sahaja dan perlu sentuh di peranti pengimbas yang disediakan oleh Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) untuk mendapatkan tiket percuma sebelum menaiki feri,” ujar Zairil yang turut mencuba perkhidmatan ke Seberang Perai dan berpatah balik ke George Town.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Ketua Seksyen (Pengangkutan) bagi Bahagian Kerajaan Tempatan, Dato’ Lim Hock Seng dan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng.
Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan bahawa kos keseluruhan bagi tujuan tersebut adalah dianggarkan sebanyak RM936,000 untuk tahun 2022.
“Pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki ini melibatkan RM78,000 sebulan dengan jumlah peruntukan 65,000 keping tiket.
“Kerajaan Negeri berharap dengan pembiayaan tambang feri pada saat-saat kritikan ini dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam.
“Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa feri percuma hanya kepada pejalan kaki sahaja, sebab matlamat kita adalah untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.
“Feri membawa motosikal (feri lama) masih perlu dibayar oleh pengguna seperti biasa,” maklum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga itu lagi.
Sementara itu, Teik Cheng ketika berucap memaklumkan bahawa kerjasama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat tersebut memperlihatkan semangat kebersamaan dan sambutan diterima juga amat menggalakkan.
“Perkhidmatan baharu ini lebih pantas, cuma 10 minit sahaja untuk sehala dan apa yang lebih penting adalah ia menepati masa,” katanya kepada pemberita.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD