GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri secara serius berhasrat untuk memperluaskan kaedah pemilikan rumah melalui skim sewa beli bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga 11 Jun 2020, sebanyak 2, 474 unit perumahan akan disalurkan kepada mereka yang layak menerusi kaedah sewa beli berkenaan.
“Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan jumlah unit yang boleh ditawarkan melalui skim sewa beli ini.
“Seperti semua sedia maklum, Kerajaan Negeri menyasarkan penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) sebanyak 180,000 unit menjelang tahun 2030, di mana pada Januari lalu saya telah mengumumkan bahawa 10 peratus daripada jumlah ini iaitu 18,000 unit perlu dilaksanakan melalui skim sewa beli.
“Melalui mesyuarat SPEC, kita telah meluluskan tiga lagi projek iaitu masing-masingnya dua projek di Permatang Tok Suboh dan Rumah Pangsa Desa Wawasan (1) untuk dijadikan sebagai skim sewa beli… di mana awal bulan Julai nanti surat tawaran akan diberikan,” jelasnya pada sidang media di Komtar sebentar tadi.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas).
Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep yang juga Pengerusi SPEC memaklumkan bahawa untuk
membantu penjualan stok rumah berharga RM300,000 ke atas, Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa berkenaan telah bersetuju untuk menurunkan had harga siling yang dibenarkan kepada warga asing.
Jelasnya, sehingga kini terdapat kira-kira 3, 053 unit rumah masih belum dijual.
“Daripada jumlah (3,053) ini, 90 peratus daripadanya adalah unit yang berharga RM300,000 ke atas dan sememangnya bukan RMM.
“Untuk tujuan tersebut, kita telah menetapkan bahawa untuk kawasan pulau bagi kediaman landai (landed) daripada RM3 juta akan diturunkan kepada RM1.5 juta, manakala kediaman bertingkat daripada RM1 juta kepada RM800,000.
“Manakala, bagi kawasan Seberang Perai pula kediaman landai daripada RM1 juta akan diturunkan kepada RM750,000 dan kediaman bertingkat (RM500,000 kepada RM400,000).
“Ingin ditegaskan bahawa keputusan ini sama sekali tidak menjejaskan kepentingan rakyat Pulau Pinang kerana sememangnya kita mempunyai stok RMM yang cukup kepada rakyat,” jelas beliau.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD