Kerajaan Negeri teruskan usaha tangani risiko banjir

whatsapp image 2024 11 28 at 09.54.05

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang meneruskan usaha bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata antara usaha yang diambil adalah melalui pelaksanaan beberapa projek tebatan banjir berskala kecil, sederhana dan berimpak tinggi, khususnya di kawasan berisiko banjir yang telah dikenal pasti.

“Projek tebatan banjir berskala kecil dilaksana menggunakan peruntukan pembangunan negeri dan mengurus, manakala kajian reka bentuk terperinci dan pelaksanaan projek tebatan banjir berskala sederhana pula melalui caruman saliran negeri.

“Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan projek-projek tebatan banjir berimpak tinggi dengan kos sebanyak RM150 juta pada tahun 2017.

“Projek-projek tebatan banjir ini dilaksanakan berasaskan rekod kawasan banjir serta hasil kajian reka bentuk terperinci sebagai langkah mitigasi untuk menangani isu berkenaan.

“Pelaksanaan projek fizikal kemudiannya akan dijalankan setelah kajian siap dijalankan sepenuhnya,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Menurut Zairil, sehingga Mac tahun ini, sebanyak 233 kawasan di negeri ini telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko di kelima-lima daerah di negeri ini berdasarkan data semasa daripada JPS negeri.

“Daripada jumlah tersebut, 124 kawasan dikenal pasti sebagai hotspot banjir manakala 109 kawasan lagi diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko banjir,” katanya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS