Kerajaan Negeri tetap mahu perkhidmatan feri ikonik dikekalkan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap dengan pendirian yang mahukan perkhidmatan feri Pulau Pinang dikekalkan pada masa akan datang.

Kon Yeow berkata demikian semasa ditemui Buletin Mutiara selepas mengadakan lawatan dan tinjauan perkhidmatan feri baharu dekat Terminal Kapal Persiaran Swettenham dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di sini sebentar tadi.

Perkhidmatan feri ikonik masih diteruskan hanya untuk pengguna motosikal dan basikal.

Beliau mengadakan lawatan tersebut selepas menerima jemputan rasmi daripada pihak Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).

“Pendirian Kerajaan Negeri adalah amat jelas iaitu kita meminta agar Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dan Kerajaan Persekutuan membeli feri baharu dengan reka bentuk yang sedia ada.

“Jika isu yang timbul adalah daripada segi penyelenggaraan, kos operasi dan piawaian keselamatan, maka ia boleh diatasi dengan membeli feri yang baharu,” tegasnya.

Beliau menyatakan bahawa feri Pulau Pinang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat negeri ini dan keputusan menamatkan perkhidmatan feri ikonik tersebut pasti memberikan kesan mendalam kepada rakyat negeri ini.

“Masa depan feri Pulau Pinang masih belum jelas tetapi ada juga cadangan supaya ia (feri) sedia ada dijadikan sebagai restoran, muzium dan sebagainya. Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) serahkan perkara ini kepada PPSB dan Kementerian Pengangkutan,” ulasnya.

Kon Yeow dalam pada itu turut berkongsi bahawa feri ikonik itu turut meninggalkan nostalgia tersendiri buat diri beliau terutamanya semasa kali pertama menjejakkan kaki ke negeri ini 40 tahun lalu.

Chow Kon Yeow ketika mengadakan lawatan dan tinjauan perkhidmatan bot laju baharu dekat Terminal Kapal Persiaran Swettenham pagi tadi.

“Ini akan menjadi perjalanan yang amat nostalgik bagi saya. Saya masih ingat kali pertama (menaiki feri) adalah pada tahun 1980 selepas tiba dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Setelah habis belajar, saya memilih untuk menetap di Pulau Pinang dan selepas itu saya mula menceburkan diri dalam bidang politik. Saya tak sangka perjalanan itu begitu panjang… selepas 40 tahun saya masih lagi di sini.

“Justeru, perjalanan hari ini telah mengembalikan banyak kenangan kerana pada masa itu Jambatan Pulau Pinang masih belum ada, dan setiap kali cuti semester, kita akan menggunakan feri bagi menaiki bas di Butterworth untuk pulang ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng yang turut serta dalam lawatan itu memberitahu bahawa tiga buah bot laju baharu akan digunakan bagi menggantikan perkhidmatan feri sedia ada dalam tempoh peralihan bermula 1 Januari 2021 hingga 2022.

Perkhidmatan feri ikonik yang membawa penumpang pejalan kaki dan kereta berakhir esok.

“Perjalanan menggunakan bot laju itu hanya mengambil masa kira-kira 10 minit sehala dengan jumlah penumpang maksimum seramai 200 orang dalam satu-satu masa.

“Walau bagaimanapun, perkhidmatan feri ikonik masih diteruskan tetapi hanya kepada penunggang motosikal serta basikal, bermula 1 Januari ini.

“Dalam tempoh 18 bulan ini, kita menggunakan feri sedia ada iaitu Pulau Angsa untuk mengangkut motosikal dan basikal.

“Apabila tempoh ini tamat, kita akan mempunyai tiga buah bas air yang reka bentuknya mungkin ada ciri-ciri Pulau Pinang dan dua pengangkut kenderaan untuk membawa penunggang motosikal serta basikal.

“Kita (SPPP) juga beri jaminan bahawa tambang yang dikenakan pada ketika ini juga akan dikekalkan,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN