GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengambil beberapa langkah proaktif dalam memastikan bakat-bakat di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat kekal berkhidmat dengan agensi masing-masing dan terus menyumbang kepada pembangunan negeri.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata antara langkah yang diambil termasuklaj membuka ruang dan peluang kepada setiap GLC untuk melantik pegawai-pegawai yang berkhidmat selama dua tahun dan ke atas dan telah menunjukkan prestasi yang cemerlang serta memberangsangkan.
“Perkara ini disertakan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan agar diberi pertimbangan bagi meneruskan kontrak untuk sesuatu tempoh yang lebih panjang atau boleh terus diserap untuk berkhidmat secara tetap di GLC yang berkaitan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan platform bagi menghantar pekerja-pekerja yang berpotensi tinggi untuk menghadiri atau menjalani latihan yang berkaitan dengan fungsi dan tugas masing-masing di dalam organisasi,” ujarnya ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pagi tadi.
Tambah Mohamad, Kerajaan Negeri turut menyediakan geran tahunan bagi setiap GLC yang merangkumi perbelanjaan bagi pembayaran gaji dan emolumen serta manfaat bagi setiap kakitangan yang berkaitan.
“Gaji yang ditawarkan adalah setaraf dengan sektor swasta iaitu lebih kompetitif berbanding dengan gaji mengikut skim pencen.
“Ini bagi memastikan setiap GLC dapat menyelaraskan agenda dan fokus kepada penyampaian perkhidmatan dengan lebih baik,” katanua yang juga ADUN Batu Maung.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu bahawa langkah tersebut juga mampu memastikan setiap GLC dapat menyelaraskan agenda dan fokus kepada penyampaian perkhidmatan dengan lebih baik.
“Langkah-langkah ini bukan sahaja untuk meningkatkan jaminan kerja dalam kalangan pekerja GLC tetapi juga bagi mengekalkan bakat dan mempertahankan pekerja yang berkemahiran tinggi untuk terus berkhidmat dan menyampaikan perkhidmatan dengan lebih baik dan cemerlang,” ujarnya.
Difahamkan, Pulau Pinang mempunyai 15 GLC yang bernaung di bawah Kerajaan Negeri melalui Perpadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) seperti Penang Global Tourism (PGT), Penang Green Council (PGC), Penang Women’s Development (PWDC), Penang Youth Development Corporation (PYDC), Digital Penang Sdn. Bhd., Penang STEM Sdn. Bhd. dan Penang Science Cluster.
GLC lain terdiri daripada George Town Conservation & Development Corporation Sdn. Bhd.; George Town World Heritage Incorporated (GTWHI); Penang Tech Centre; Penang Convention & Exhibition Bureau; Penang Halal International Sdn. Bhd.; Penang FC Sdn. Bhd.; Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. dan Penang Harmony Corporation Sdn. Bhd.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN