Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan sebarang pembangunan di atas tanah pertanian – Exco

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri komited untuk tidak meluluskan sebarang pembangunan di atas tanah pertanian yang masih aktif terutamanya kawasan sawah padi.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata Pulau Pinang ketika ini berdepan tekanan pembangunan yang semakin pesat sehingga mengancam kawasan jelapang padi.

“Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo juga telah bersetuju dan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk lebih proaktif berkenaan isu ini.

“Oleh itu, saya mohon kepada para petani dan juga pegawai di Jabatan Pertanian untuk sentiasa berada di lapangan serta memberikan maklumat supaya hal itu dapat diatasi,” katanya semasa hadir Majlis Graduasi Farmers Field School (FFS) 2019 di Hotel Light, Seberang Jaya semalam.

Hadir sama, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang, Noor Mazirah Teh dan Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim.

Dalam perkembangan berkaitan, Afif memberitahu bahawa Pulau Pinang mencatatkan purata hasil pengeluaran padi tertinggi dalam negara berbanding dengan negeri-negeri lain.

Katanya, walaupun pengeluaran padi mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.6 peratus iaitu daripada 4,226 kilogram (kg) pada tahun 2017 kepada 4,199kg (2018), namun jumlah tersebut masih tinggi berbanding dengan purata pengeluaran padi nasional.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada anda (pesawah) semua kerana berjaya mengekalkan Pulau Pinang sebagai negeri yang paling produktif mengeluarkan padi di seluruh negara.

“Sebagai Exco Pertanian, saya mengharapkan peningkatan usaha semua pihak dalam meningkatkan pengeluaran hasil padi negeri bagi mencapai sasaran enam tan per hektar.

“Saya yakin, sekiranya sasaran itu dapat dicapai, kita akan semakin hampir dengan Tahap Sara Diri (SSL) yang diletakkan untuk negeri Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sedia membantu para petani dan menggalakkan usahawan muda melalui Tabung Usahawan Tani dengan memperluaskan kelayakan umur peminjam kepada 60 tahun dan kadar pinjaman sebanyak RM5,000.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NOOR SITI NABILAH NORAZIS