Kerajaan Negeri tidak campur tangan urusan fatwa – Exco Agama

Admin

GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak mencampuri urusan fatwa di negeri ini.

“Perkara itu juga sudah diperjelaskan Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, malah beliau menafikan bahawa adanya campur tangan Kerajaan Negeri dalam urusan fatwa.

“Malah, kuasa untuk mengeluarkan sesuatu fatwa dan seterusnya meluluskannya terletak dalam bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang sendiri,” katanya sebagai respons terhadap isu fatwa yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Menyentuh mengenai syor Jahara supaya Abdul Malik menarik balik surat kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk membentangkan fatwa kepada Kerajaan Negeri sebelum diangkat kepada Yang Di-Pertuan Agong, Malik menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sebagaimana dinyatakan Jahara.

“Jadi tidak berbangkit untuk saya menarik balik sebarang surat seperti yang dibangkitkan
oleh (ADUN) Teluk Air Tawar.

“Mungkin surat yang dimaksudkan adalah surat Penasihat Undang-undang Negeri kepada semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Mufti seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Exco,” ujarnya yang ADUN Batu Maung.