Kerajaan Negeri tidak lagi berminat ambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin
槟州首长曹观友指出,留待警方完成调查有关海底隧道事件后,再决定下一步的行动。

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak lagi mempunyai hasrat untuk mengambil alih operasi feri Pulau Pinang.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai menjawab pertanyaan pihak media berhubung pendirian terkini Kerajaan Negeri berhubung perkara tersebut.

Kon Yeow dalam responsnya menyatakan, perkara itu sudah diputuskan dahulu selepas satu kajian yang dilakukan Kerajaan Negeri terhadap kos operasi mendapati bahawa perkhidmatan feri Pulau Pinang adalah tidak mampan dan mengalami kerugian hampir RM10 hingga RM15 juta setahun.

“Pada masa itupun, kita (Kerajaan Negeri) sudah putuskan tidak akan melanjutkan penelitian untuk mengambil alih operasi perkhidmatan feri memandangkan ia telah diasingkan daripada (pengoperasian) pelabuhan Pulau Pinang.

“Jika perkhidmatan feri ini dipakejkan sekali bersama-sama pengoperasian pelabuhan Pulau Pinang, maka ia adalah satu perniagaan yang menguntungkan,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong di sini tadi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhasrat untuk mengambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Bagaimanapun, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi berharap pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui anak syarikatnya, Rapid Ferry Sdn. Bhd. yang telah mengambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang dapat melakukan sesuatu agar perkhidmatan ini dipulihkan segera.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita berharap perkhidmatan feri ini dapat dipulihkan sama ada dari segi kewangan, perkhidmatan dan sebagainya,” jelasnya.