Kerajaan Negeri tunggu respons PBAPP terhadap cadangan pembenihan awan

Admin
槟州首长曹观友指出,留待警方完成调查有关海底隧道事件后,再决定下一步的行动。

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan sekiranya kapasiti air di tiga empangan dekat sini terus menyusut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata, pihak PBAPP masih memantau kapasiti air di ketiga-tiga empangan berkenaan meskipun cadangan untuk melakukan pembenihan awan telah dibuat.

“Cadangan pembenihan awan memang ada tetapi kita (Kerajaan Negeri) menunggu respons daripada pihak PBAPP untuk membuat keputusan mengenai hal ini, dan sememangnya mereka (PBAPP) sedang melaksanakan pemantauan kini.

“Sekiranya ia (pembenihan awan) diperlukan, kita akan melaksanakannya, apapun Kerajaan Negeri menyerahkan hal ini kepada PBAPP yang merupakan pakar dalam hal ini.

“Cadangan ini adalah untuk memastikan bekalan air kepada pengguna iaitu isi rumah, perniagaan dan sebagainya tidak terjejas,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee.

Laman sesawang PBAPP hari ini mencatatkan bacaan air di Empangan Air Itam sebanyak 60.4 peratus, Empangan Teluk Bahang (75.3 peratus) dan Empangan Mengkuang (45.9 peratus).