Kerajaan Negeri usaha percepat kelulusan Kebenaran Merancang projek RMM Bakat Baru Madani

Admin
img 20241219 wa0090

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berusaha untuk mempercepatkan proses kelulusan Kebenaran Merancang bagi pembinaan projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bakat Baru Madani di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa proses kelulusan kebenaran merancang akan dipercepatkan kepada sekurang-kurangnya 40 hari berbanding 58 hari yang lazimnya dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebelum ini.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan pembinaan projek tersebut dapat dimulakan sebelum tarikh pelancaran yang dijadualkan pada pertengahan Februari 2025.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada menyebut mengenai satu kes di Wilayah Lersekutuan Kuala Lumpur yang mana setelah pemaju mengemukakan pemohonan kebenaran merancang, pelan itu dapat diluluskan lebih kurang dalam 42 hari.

“Kalau (Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur boleh buat, maka Pulau Pinang juga mampu melakukan perkara yang sama.

“Oleh itu, PDC telah memulakan satu misi untuk mencapai hasrat ini dan membawa MBSP serta semua agensi teknikal untuk melihat bagaimana kita oleh mencapai sasaran ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Natal anjuran PDC dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar dan pegawai-pegawai PDC.

Menurut Kon Yeow, pihak pemaju dijadualkan menghantar pelan bagi mendapatkan kelulusan kebenaran merancang pada 2 Januari 2025.

“Kerajaan Negeri optimis MBSP dapat selesaikan permohonan kelulusan kebenaran merancang sebelum 40 hari kerana Perdana Menteri sudah tetapkan tarikh bagi majlis pelancaran pada pertengahan Februari 2025.

“Sekiranya pelan-pelan yang dikemukakan oleh pemaju dalam keadaan teratur, maka agensi terlibat akan membuat penilaian dengan kadar segera, dan kita boleh pastikan projek ini dilancarkan pada tarikh yang ditetapkan,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Kon Yeow menyatakan bahawa pelaksanaan projek RMM Bakat Muda Madani adalah penting untuk menyediakan bakat-bakat baru untuk mengisi jawatan penting dalam sektor industri di negeri ini.

“Kita mahu menyediakan RMM kepada bakat-bakat baru terutamanya mereka yang terlibat dalam kerja-kerja teknikal, kejuruteraan dan graduan lepasan universiti untuk mengisi jawatan-jawatan yang ditawarkan oleh pihak industri di negeri Pulau Pinang.

“Selain penduduk Pulau Pinang, projek ini juga dibuka kepada mereka yang bekerja di negeri ini.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk menyokong pembangunan industri yang memerlukan bakat-bakat khususnya dalam bidang teknikal,” ujarnya lagi.

Kon Yeow sebelum ini memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah mengenal pasti dua bidang tanah di Seberang Perai iaitu 34 ekar di Seberang Jaya (Jalan Todak di hadapan Penang Bird Park), dan 161.5 ekar lagi tanah berhampiran Batu Kawan (Design Village Outlet Mall) untuk tujuan pembangunan.

“Di dua lokasi ini, lebih 35,000 unit rumah mampu milik akan dibina dan disasarkan siap dalam tempoh 15 tahun.

“Pembinaan projek ini akan menggunakan Teknologi Pembinaan Volumetrik Prafabrikasi Prasiap (PPVC), menjadikan Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang menggunakan pendekatan tersebut di bawah Rangka Kerja Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Industri Nasional (ESG).

“Projek itu akan merangkumi kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna dan taman permainan dengan setiap unit akan dijual dengan harga bermula RM225,000 hingga RM420,000,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS