Kerajaan nekad terus sejahterakan ekonomi negeri, sosial kehidupan rakyat – Ketua Menteri

Admin
a5b7ef9a 80ed 4c30 8d64 b081f7de890b KETUA Menteri (berbaju batik biru) dan sekalian pemimpin negeri menyantuni para tetamu sebelum berlangsungnya acara ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran DAP Pulau Pinang di sini pada 13 April 2024.

AIR ITAM – Sekalian rakyat majmuk di negeri Pulau Pinang harus terus menyemarakkan semangat muhibah berlandaskan Visi Penang2030 yang digagaskan peringkat Kerajaan Negeri hari ini.

1f330b36 edc3 4f8a 8e81 6ac75932c864
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang menyampaikan amanat itu semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP di sini pada 13 April 2024.

“Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang (rakyatnya) berbilang kaum serta membayangkan negeri kita adalah negeri yang majmuk dan pelbagai bangsa serta harmoni.

“Amat penting pada ketika ini bahawa di bawah Kerajaan Perpaduan yang baharu, kita fokuskan untuk membangunkan ekonomi negara, memperbaiki kewangan negara, menangani isu penyelewengan dan memastikan agenda pembangunan (sedia ada) tidak terjejas (dek) unsur-unsur politik (pihak tertentu).

“Paling penting juga adalah Pulau Pinang ada sebuah Kerajaan Negeri yang berupaya untuk mengubah serta memperbaiki dasar-dasar pentadbiran supaya lebih memihak kepada kesejahteraan rakyat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, beliau berharap pentadbirannya dapat terus mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara negeri ‘jaguh pelaburan’ selama kira-kira 15 tahun ini.

Pulau Pinang, difahamkan, terus menjadi destinasi yang digemari oleh para pelabur ke Malaysia yang mana pada tahun 2021 menyaksikan RM76 bilion nilai pelaburan diluluskan ke negeri ini serta adalah rekod tertinggi oleh negeri setakat ini.

Pada tahun 2021, Pulau Pinang mencatatkan rekod eksport tertinggi dalam negara dengan jumlah RM354 bilion nilai eksport.

Pada tahun 2023, jumlah aliran pelaburan adalah berjumlah RM71.9 bilion.

Berucap sebelum itu, mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan berkata bahawa pihaknya berharap Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan peringkat negeri Pulau Pinang dan Persekutuan dapat terus memperbaiki dasar-dasar pemerintahan masing-masing supaya lebih memihak serta mensejahterakan rakyat yang berbilang kaum.

“Sebagai Kerajaan Perpaduan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan rakyat hidup lebih senang (iaitu) menara boleh kekal dalam keadaan aman tenteram di samping ada kerajaan yang stabil, kemajuan berterusan dari segi ekonomi serta sosial, dan kemajuan generasi masa depan membabitkan pembangunan digital serta AI (kecerdasan buatan),” ujarnya yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Rumah Terbuka Aidilfitri DAP Negeri dan Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying turut berucap pada majlis keramaian tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING