JAWI – Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berharap agar rakyat Pulau Pinang memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri ini bagi penggal keempat.
Beliau berkata, seruan tersebut adalah berikutan Kerajaan Perpaduan dilihat mempunyai wawasan dan agenda pembangunan yang jelas serta mampu membawa pembangunan Pulau Pinang ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita tidak nafikan mengenai sentimen pengundi Cina dan kita ambil maklum dengan meneliti dapatan kajian dengan meningkatkan gerak kerja pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini termasuk di kawasan-kawasan yang dianggap selesa.
“Namun, saya berharap agar dengan prestasi kita mentadbir selama tiga penggal, rakyat akan memilih Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir sekali lagi bagi membolehkan kita menyambung semula projek-projek yang tidak sempat disiapkan pada penggal lalu.
“Malah, kita juga ada pelan dan wawasan amat jelas dan akan membawa Pulau Pinang ke peringkat pembangunan yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa mengadakan ‘walkabout’ di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di sini sebentar tadi.
Turut hadir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye serta beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Kon Yeow berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa terdapat sebilangan besar pengundi Cina mungkin mengundi pihak pembangkang, tidak keluar mengundi atau membuang undi rosak.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) mengambil maklum setiap suara rakyat dan menganggap PRN kali ini bukan sesuatu yang mudah.
“Oleh itu, kita akan meneruskan kempen ini supaya rakyat tahu mesej penting yang ingin disampaikan iaitu memilih Kerajaan Perpaduan untuk memerintah negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Mooi Lye memberitahu bahawa aduan rakyat berkaitan kejadian banjir kilat di sekitar Nibong Tebal telah diambil maklum dan Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa projek rancangan tebatan banjir (RTB) untuk mengatasi masalah tersebut.
“Berbanding lima tahun lepas, banjir kilat di kawasan Nibong Tebal boleh dikatakan semakin berkurangan.
“Ini kerana, Kerajaan Negeri melalui MBSP telah melaksanakan RTB membabitkan pembinaan sebatang parit di hadapan kawasan perumahan untuk mempercepatkan aliran air ke parit monsun yang telah siap pada tahun 2019.
“Projek kedua adalah kita naik taraf pembentungan parit monsun di depan pam Jalan Teluk Ipil yang menelan kos RM2.5 juta daripada Kerajaan Negeri dan telah siap pada 2022.
“Mengenai isu parkir pula, saya merasakan jumlah parkir di kawasan perumahan lama ini sudah mencukupi dan ia bukanlah isu yang terlalu besar,” ujarnya.