GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan disaran mempertimbangkan cadangan pelaksanaan sistem e-lelong secara hibrid bagi meredakan keresahan para pelelong berkaitan masa depan kerjaya mereka.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Razak Jaafar berkata, kaedah yang menggabungkan elemen tradisional dan digital itu dapat mengekalkan perkhidmatan pelelong berlesen semasa proses lelongan dijalankan.
“Terdapat keluhan daripada persatuan dan para pelelong berkenaan projek perintis e-lelong yang dilihat secara tidak langsung mengambil alih tugas dilakukan oleh pihak pelelong berlesen sebelum ini.
“Justeru, pelaksanaan sistem hibrid dapat mengekalkan perkhidmatan pelelong berlesen semasa proses lelongan eset yang belum disempurnakan di Pejabat Daerah dan Tanah atau mengikut Kanun Tanah Negara 1965 iaitu semua penjualan adalah di bawah arahan pentadbir tanah secara lelongan awam dan boleh dibantu oleh pelelong berlesen.
“Saya percaya untuk mengekalkan tradisi dan memenuhi kehendak undang-undang, sistem e-lelong hibrid adalah penyelesaian terbaik bagi semua pihak,” katanya semasa merasmikan Seminar Pelelong Awam Malaysia anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat sini, pagi tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan Malaysia, A’zmi Abdul Latif; Pengarah Penilaian Negeri Pulau Pinang Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Amran Mat Yaacob; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, walaupun terdapat beberapa isu berkaitan sistem e-lelong tetapi kaedah tersebut merupakan mekanisme baru yang mempunyai kebaikan tersendiri, antaranya dapat menyingkirkan amalan-amalan negatif seperti rasuah dan ‘ulat lelong’.
“Sistem ini juga membolehkan para pembida membuat bidaan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah selain dapat meningkatkan penyertaan orang awam untuk memiliki aset tetap khususnya rumah kediaman pada nilai sebenar tanpa manipulasi harga.
“Malah, identiti pembida adalah dirahsiakan bagi memastikan tiada ketirisan maklumat dan pembida boleh membuat bidaan tanpa sebarang tekanan dan cabaran pihak ketiga dan sindiket tertentu.
“Selain itu, kita perlu mengikut trend semasa iaitu mengamalkan normal baru yang mana proses lelongan tidak boleh lari daripada tidak terlibat secara online apatah lagi pada masa kini banyak agensi melaksanakan pelbagai program secara maya,” ujarnya lagi.
Difahamkan, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei 2017 bersetuju melaksanakan projek perintis sistem e-lelong bagi kes-kes lelongan awam harta alih di Mahkamah Tinggi Malaya.
Pelaksanaan e-lelong sebagai projek perintis dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Kuantan bermula 1 Jun 2017 dan diperluaskan ke tiga lagi lokasi iaitu di Mahkamah Tinggi Temerloh, Mahkamah Tinggi Ipoh dan Mahkamah Tinggi Taiping bermula 1 Jun 2018 sebelum diperluaskan di seluruh negara sejak 1 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Abdul Razak memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menambah baik amalan pelelongan di Pejabat Daerah dan Tanah selaras dengan slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).
“Langkah ini bagi penyediaan tatacara pelelongan awam di Pejabat Daerah dan Tanah untuk diguna pakai di seluruh negeri,” jelasnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS