Kerajaan Persekutuan rangka strategi pulihkan industri pelancongan negara ekoran penularan Covid-19

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan merangka beberapa strategi bagi memulihkan kembali industri pelancongan negara yang terkesan ekoran penularan wabak Novel Coronavirus (Covid-19).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan (TRAC) yang dianggotai oleh kementerian-kementerian, agensi-agensi Kerajaan serta penggiat industri pelancongan negara bagi tujuan tersebut.

Aksi menarik dalam persembahan Tarian Singa menarik perhatian pengunjung yang hadir.

“Pada kesempatan ini, suka saya mengajak rakyat untuk terus memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada kerajaan dengan menolak anasir-anasir jahat terutamanya penularan berita tidak benar atau maklumat palsu yang disebarkan secara meluas di media sosial semata-mata untuk agenda atau kepentingan peribadi.

“Penularan berita palsu boleh memberikan pelbagai kesan buruk kepada masyarakat seperti menimbulkan perasaan panik, prejudis dan pergaduhan.

Ketua Menteri dan isteri hadir memeriahkan majlis.

“Justeru, rakyat dinasihatkan supaya sentiasa merujuk ke portal “Sebenarnya.my” bagi mendapatkan maklumat terkini yang sahih dan ditentusahkan daripada sumber rasmi Kerajaan,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 dekat Padang Kota Lama di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi dan isteri; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen; pimpinan Kerajaan Negeri turut hadir memeriahkan majlis.

Mengulas lanjut, Wan Azizah menjelaskan bahawa kerajaan turut meningkatkan promosi pelancongan domestik melalui kempen Cuti-Cuti Malaysia yang memerlukan sokongan padu daripada seluruh rakyat dalam menyokong kempen Visit Malaysia 2020.

Antara tarian kebudayaan masyarakat Cina yang dipersembahkan.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat lebih 200 acara pelancongan dan kebudayaan telah disediakan dan disenaraikan dalam Kalendar Acara 2020 bagi menggalakkan pelancong domestik merancang percutian sepanjang tahun.

“Di samping itu, dalam menyemarakkan kempen Visit Malaysia 2020 bagi pasaran antarabangsa, kita sebagai tuan rumah hendaklah menyambut kehadiran para pelancong dengan ikhlas dan ramah mesra selain mempamerkan tradisi budaya negara ini dengan nilai-nilai kesopanan serta berbudi bahasa.

Kehadiran ribuan pengunjung menambahkan lagi kemeriahan suasana majlis yang berlangsung dekat Padang Kota Lama.

“Oleh itu, kita berharap agar penggiat industri pelancongan dapat mengutamakan aspek keselamatan dengan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memastikan penyediaan fasiliti adalah mencukupi agar pelancong yang berkunjung ke negara ini sentiasa berasa selasa serta selamat,” ujarnya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan acara menggaul yee sang oleh barisan tetamu kehormat yang hadir.

Selain dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah popular di Pulau Pinang, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan-persembahan tarian tradisional masyarakat Cina serta lain-lain bangsa secara menyeluruh.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & WO YEE QI
Video : ALVIE CHENG