Kerajaan Persekutuan sasar 15 juta rakyat daftar sistem pembayaran digital

Admin

BAGAN JERMAL – Kerajaan Persekutuan menyasarkan seramai 15 juta rakyat di negara ini yang mempunyai kuasa pembelian untuk berdaftar melalui sistem pembayaran digital.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan telah melaksanakan program e-Tunai Rakyat yang menawarkan RM30 secara percuma kepada mereka yang mendaftar sistem dompet elektronik (e-dompet) bagi menggalakkan sistem pembayaran digital.

“Tujuan kerajaan memperkenalkan program ini adalah untuk menggalakkan sistem pembayaran digital sebagai langkah penting ke arah menuju masyarakat tanpa tunai.

Lim Guan Eng meninjau pasar raya besar Tesco Bagan Ajam sempena pelancaran program e-Tunai Rakyat baru-baru ini.

“Tambahan, sistem ini lebih baik, efisien dan telus kerana dapat memastikan pembayaran yang dibuat itu sahih, teratur tanpa ada unsur penyelewengan, penyalahgunaan dan rasuah,” katanya pada sidang media selepas melawat pasar raya besar Tesco Bagan Ajam sempena pelancaran inisiatif e-Tunai Rakyat dekat Butterworth pada 18 Januari lalu.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee; serta Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go (TNG) Digital Sdn. Bhd. Ignatius Ong.

Mengulas lanjut, Guan Eng memaklumkan bahawa sebanyak 1.7 juta permohonan diterima bagi menuntut RM30 daripada program terbabit hingga jam 12 tengah hari (18 Januari) menerusi tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go, sejak ia dilancarkan pada 21 Januari lalu.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 1.32 juta telah diluluskan dengan jumlah peruntukan hampir RM40 juta.

“Ini adalah sebahagian kecil daripada RM450 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2020.

“Dan kita sasarkan lebih 15 juta rakyat Malaysia berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang RN100,000 setahun mendaftar bagi program ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, semasa menjawab soalan pemberita, Guan Eng berkata bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk memasukkan wang RM30 yang dikhususkan untuk program e-Tunai Rakyat ke dalam akaun penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi rakyat yang tidak memiliki telefon pintar.

Katanya, buat masa ini, pihaknya akan melihat perkembangan terkini berhubung pelaksanaan program tersebut sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Saya hendak lihat perkara itu tetapi kita akan buat bayaran BSH pada 20 Januari 2020, maka biar kita jalankan program ini, kita lihat dulu… tetapi sekiranya ada banyak rungutan tentang perkara ini, kita akan timbangkan semula,” katanya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF