Kerajaan Persekututan perlu pandang serius kenaikan harga barang – Ahli Parlimen

Admin

PANTAI JEREJAK – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memandang serius isu kenaikan harga barangan keperluan harian yang meruncing kini.

 

 

Tegasnya, kenyataan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mengatakan kenaikan harga barang adalah khabar angin seolah-olah dalam penafian.

 

 

“Mengikut angka dikeluarkan oleh Consumer Price Index, kenaikan harga yang dicatatkan sekarang adalah bersamaan 2.9 peratus.

 

 

“Berbanding era Pakatan Harapan (PH), kenaikan cuma berada pada kadar 0.7 peratus yang mana 2.9 peratus ini adalah kadar yang sama sebelum PH mendapat mandat menjadi kerajaan.

 

 

“Justeru, saya cabar Timbalan Menteri KPDNHEP untuk turun ke kawasan beliau (Hulu Terengganu) dan tanya sendiri kepada pengguna di peringkat bawah seperti di pasar dan sebagainya,” ujar beliau dalam satu sidang media ketika mengadakan lawatan ke Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma dekat Jalan Tengah, Bayan Baru, kelmarin.

 

 

Program tersebut dianjurkan sempena Hari Kesedaran Penyakit Kencing Manis Sedunia.

 

 

Tambahnya, aduan yang diutarakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak boleh dipandang remeh kerana perkara sama turut disuarakan oleh rakyat.

 

 

Berucap mengenai kesihatan, Tze Tzin menasihati orang ramai agar mengawal pengambilan karbohidrat sekiranya ingin mengelakkan penyakit kencing manis.

 

Beliau berkata, seseorang yang mempunyai penyakit diabetes akan mengalami kesan yang lebih teruk sekiranya dijangki COVID-19.

 

 

“Kalau dilihat menu rakyat Malaysia ia memang kelihatan kurang sihat.

 

 

“Namun, ia masih mampu dikawal sekiranya kita mengehadkan pengambilannya, banyakkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran, serta paling utama adalah mengamalkan gaya hidup aktif,” katanya lagi.

 

 

 

Antara yang menarik dalam program tersebut termasuklah gunting rambut percuma dan rawatan akupuntur selain daripada pemeriksaan kesihatan percuma.

 

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI