BAYAN LEPAS – Masalah geran tanah dan OC yang membelenggu penduduk Kampung Perlis (Kongsi 10) di sini selama 16 tahun akhirnya hampir selesai apabila 48 daripada 84 pemohon telah berjaya menerima pemilikan tersebut atas inisiatif khas yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).
Sebelum ini, iaitu di bawah kerajaan lama (UMNO), tiada usaha yang dibuat bagi membolehkan para penduduk memperoleh geran tanah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Badan Bertindak Kampung Perlis, Samsudin Hussein, rumah yang diduduki kini merupakan rumah gantian setelah tapak rumah lama di hadapan Kompleks Tabung Haji diambil pemaju.
“Setelah rumah gantian siap dibina, penduduk dipaksa pindah walaupun keadaan infrastruktur rumah baru tidak memuaskan terutama pada aspek pendawaian elektrik dan bekalan air,” kata Samsudin ketika ditemui Buletin Mutiara (BM) di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa JKKK Penduduk Kampung Perlis, Abu Bakar Mohamad memberitahu, ketika menduduki rumah gantian, bekalan air diperoleh dari padang golf yang terletak di belakang rumah. Dalam pada itu, tingkap-tingkap juga kerap pecah disebabkan terkena bola golf.
“Laporan polis telah dibuat namun tiada tindakan yang diambil. Mereka (pihak kerajaan lama) tidak mahu bertindak untuk membantu penduduk yang tertindas,” jelasnya.
Tambah Abu Bakar, kini, di bawah pimpinan Kerajaan Negeri PR yang dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan berikan harapan kepada rakyat, masalah ini telah dapat diatasi dengan inisiatif khas yang diusahakan supaya para penduduk memperoleh geran tanah yang telah diduduki 16 tahun.
“RM4,213 merupakan nilai yang perlu dibayar untuk mendapatkan geran tanah masing-masing. Namun atas keprihatinan Kerajaan Negeri PR, Timbalan Ketua Menteri I telah bersetuju memberi kelonggaran kepada para penduduk untuk membuat bayaran secara ansuran.
“Walaupun isu geran tanah dan OC telah berjaya dimiliki oleh separuh daripada penduduk, Kerajaan Negeri PR tetap terus berusaha agar baki dari pemohon memperoleh hak mereka dalam masa terdekat,’’ ujarnya lagi.