Kerajaan Pusat lulus RM61 juta laksana projek tangani hakisan pantai Batu Ferringhi

Admin
whatsapp image 2025 03 07 at 09.35.20

TANJONG BUNGA – Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM61 juta untuk pelaksanaan projek jangka panjang bagi menangani masalah hakisan pantai di kawasan Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata peruntukan tersebut diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RKM-12) sepertimana yang dimohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini.

zairil
Zairil Khir Johari

“Kerajaan Negeri memandang serius insiden hakisan pantai yang berulang di Batu Ferringhi yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pelancong serta penduduk tempatan.

“Melalui hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri termasuk membawa perkara ini secara langsung kepada pihak kementerian berkaitan, permohonan itu telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM61 juta.

“Susulan itu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia telah mengiklankan tender pada 27 Februari lalu bagi kerja-kerja ukur hidrografi yang merangkumi jajaran pantai dari Batu Ferringhi hingga ke Tanjung Bungah.

“Kerja-kerja fizikal pula dijangka dapat dimulakan pada tahun 2026 atau 2027,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi baru-baru ini.

Zairil berkata, JPS Pulau Pinang juga telah mengemukakan permohonan peruntukan kecemasan daripada JPS Malaysia bagi pelaksanaan kerja-kerja pemasangan beg pasir di lokasi-lokasi yang terjejas.

“Ini merupakan projek jangka pendek sementara menunggu pelaksanaan projek mitigasi tersebut berjalan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri telah mengemukakan sebanyak 10 projek sebagai keutamaan dalam Rolling Plan ke-5 (RP5) RMKe-12 sebagai sebahagian daripada Modul Wishlist Negeri Pulau Pinang dalam Sistem MyProjek.

Dua daripada 10 projek tersebut termasuklah pembinaan outfall dan struktur mencegah hakisan pantai Batu Feringghi dan Tanjung Bungah serta pembinaan struktur mencegah hakisan tantai di Pengkalan Nelayan Paramount.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Shangri-La’s Rasa Sayang Resort and Spa, Suleiman Tunku Abdul Rahman menzahirkan keyakinan bahawa tindakan proaktif oleh Kerajaan Negeri mampu mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih teruk.

suleiman
Suleiman Tunku Abdul Rahman.

“Kami menerima banyak rungutan daripada tetamu dalam kalangan pelancong asing.

“Walau bagaimanapun, usaha ini meyakinkan bahawa Kerajaan Negeri telah mengambil langkah untuk menangani isu tersebut.

“Usaha ini bukan sahaja dapat mengelakkan berlakunya hakisan lebih teruk malah pada masa sama dapat meningkatkan pengalaman tetamu kami secara keseluruhan.

“Langkah pemeliharaan pantai adalah sangat penting dan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam mengekalkan keindahan dan kebolehcapaian di Batu Ferringhi adalah sesuatu yang amat baik,” katanya.

Baru-bari ini, Kerajaan Negeri turut mengumumkan bahawa projek pembinaan Pakej 1 – Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR) dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang dijangka mula pada tahun depan.

NCPR akan menjadi laluan alternatif dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang yang dapat mengurangkan masa perjalanan daripada 30 hingga 45 minit kepada tujuh minit sahaja.

Projek ini juga dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan sedia ada, di samping menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi khasnya di Batu Ferringhi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI