Kerajaan Pusat perlu kawal keperluan asasi dengan lebih baik – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow inginkan Kerajaan Pusat lebihkan perhatian dalam mengawal keperluan asasi di negara ini.

 

Menurut beliau, setelah melalui tempoh pandemik selama dua tahun, ekonomi serta taraf kehidupan rakyat banyak terkesan.

 

“Dalam situasi pandemik, dahulunya ada golongan M40, tetapi apabila terkesan pandemik serta kesan ekonomi, kos sara hidup meningkat, ramai golongan M40 kini menjadi B40.

 

“Hal ini perlu perhatian Kerajaan (Pusat) untuk mengawal harga-harga keperluan asasi rakyat seluruh negara seperti kos minyak, pengangkutan, barangan keperluan harian yang perlu dikawal dengan baik.

“Pastikan juga sumber makanan adalah mencukupi, kawal paras maksimum supaya dalam kesusahan ini, kita masih mampu membeli barangan untuk seisi keluarga dan itu harapan kita untuk Aidilfitri kali ini,” ujarnya pada Program Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Bersama-sama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Puspanita PDC Anjuran Mutiara Food Bank dengan kerjasama Parlimen Tanjong di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis dekat sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Aziz Bakar; Pengerusi Puspanita PDC, Shaferrihaiza Shah Budin dan Ketua Pegawai Operasi Mutiara Food Bank, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal.

Pada majlis tersebut, seramai 100 penerima menerima bantuan bahan makanan kering  sumbangan pihak PDC susulan daripada sumbangan yang dijalankan setiap bulan bersama-sama pihak Mutiara Food Bank dengan mensasarkan kepada penerima-penerima kurang berkemampuan.

 

“Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang untuk majlis ini, dan saya juga difahamkan bahawa pihak kakitangan Mutiara Food Bank sendiri yang menyediakan serta memasak juadah berkaitan sejak awal pagi tadi.

 

“Sesungguhnya, penglibatan dan penyertaan setiap daripada anda adalah sangat penting dan menyumbang kepada harapan kita bersama dalam merealisasikan agenda penting ke arah merealisasikan Visi Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : DARWINA MOHD. DAUD