Kerajaan Pusat setuju jadikan Projek Air Perak – Pulau Pinang sebagai keutamaan

Admin
675250ab ced6 4c5f 9a0a b2c08387afd4

BAGAN SERAI – Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menjadikan projek Air Perak-Pulau Pinang  sebagai keutamaan demi kepentingan rakyat di utara negeri Perak dan penduduk di Seberang Perai (Pulau Pinang).

dd4f7ed9 a0ef 4926 bfea 104288e459f6
SESI ucaptama oleh Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim di Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP dekat sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim berkata bahawa projek yang dianggarkan bernilai RM4 bilion itu adalah penting sebagai penyelesaian jangka panjang dalam memenuhi keperluan bagi Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan menyelesaikan masalah air di bahagian Seberang Perai Selatan (SPS).

“Selepas selesai projek ini maknanya untuk puluhan tahun akan datang, keperluan di Kerian, KIGIP dan sekurang-kurangnya di Seberang Perai (Pulau Pinang) dapat dipenuhi,” katanya semasa berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP yang turut dihadiri Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Dewan Dato Zainal Abidin dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri II, merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Sri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan ramai lagi.

191c3653 2fe7 4fd6 a2e5 912d405c74e4
SEKITAR gimik perasmian Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP.

Sebelum itu, Anwar menjelaskan bahawa pembangunan kawasan perindustrian berteknologi  di atas tanah seluas kira-kira 1,000 ekar akan dilengkapi dengan premis dan infrastruktur bagi kegunaan industri serta komersial termasuk kawasan perumahan dan persekitaran hijau.

Selain itu, KIGIP turut dilengkapi dengan ladang solar seluas 660 ekar yang mampu membekalkan sumber tenaga hijau serta bakal menjadi hab inovasi dan bakat tempatan yang berupaya menjana peluang pekerjaan berdasarkan lokasinya yang strategik.

Difahamkan, Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP pada hari ini adalah susulan perancangan Kerajaan MADANI untuk membangunkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian, Perak, yang telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024.

KIGIP merupakan satu projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama.

Peluncuran pada hari ini merupakan sebuah acara simbolik bagi proses penyediaan Pelan Induk KIGIP yang sedang disiapkan menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak, SD Guthrie Berhad dan Permodalan Nasional Berhad.

Sementara itu, Fadillah ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya meluluskan peruntukan untuk pelaksanaan projek saluran air mentah Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.

“Justeru, diharapkan agar KIGIP secara keseluruhannya bukan sahaja dapat memanfaatkan rakyat di negeri Perak (khususnya di daerah Kerian), malahan juga dapat menyediakan kemudahan bekalan air bersih ke bahagian Seberang Perai negeri Pulau Pinang secara amnya,” ujarnya.

31767f30 f927 4389 9eae 3a75cb3c5852
DATUK Sri Fadillah Yusof semasa sesi sidang media sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Fadillah turut menyatakan bahawa kerajaan bakal meneliti keperluan empat infrastruktur asas utama termasuk tenaga, bekalan air, jalan raya dan telekomunikasi.

“Seperti yang telah diamanahkan oleh Perdana Menteri, saya akan meneliti setiap infrastruktur yang terdiri daripada empat asas utama seperti tenaga, air, jalan dan telekomunikasi agar dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Menurut perkara yang telah dipersetujui, bekalan air akan diambil dari Sungai Perak, kemudian proses pembersihan akan dilaksanakan di Bukit Merah, sebelum disalurkan ke negeri Pulau Pinang.

“Dari segi tenaga pula, sebahagian daripada pembangunan merupakan pembekalan tenaga solar sebanyak 1,000 watt manakala bagi susur jalan keluar dari lebuh raya juga akan dibawakan kepada Kementerian Kerja Raya,” jelasnya sambil menambah bahawa sebuah jawatankuasa khas mengenai perkara itu juga telah diwujudkan.


Oleh : SUNARTI YUSOFF & NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS