Kerap basuh tangan dan kekalkan jarak sosial langkah terbaik cegah jangkitan COVID-19 – Datuk Bandar

KEBUN BUNGA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini menggesa pihak berkaitan untuk menarik semula pemasangan kebuk nyah kumah dekat Pasar Awam Balik Pulau.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, pemasangan kebuk berkenaan telah menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat yang hanya bergantung kepada penggunaan peralatan itu semata-mata sebagai langkah pencegahan jangkitan COVID-19 sekaligus mengabaikan amalan mencuci tangan dan mengekalkan jarak sosial selamat.

“Paling penting adalah untuk kita terus mengamalkan jarak selamat satu meter, membasuh tangan secara kerap dan tidak menyentuh muka sekiranya tangan belum dibasuh.

“Jawatankuasa Keselamatan Negeri juga menasihatkan agar tidak perlu memasang kebuk nyah cemar di kawasan awam dan kita hanya menerima sebarang nasihat (berkaitan COVID-19) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.

“Jadi, kita telah meminta pihak NGO (badan bukan kerajaan) yang memasang kebuk nyah cemar di Pasar Awam Balik Pulau untuk menarik balik peralatan tersebut,” ujar beliau dalam satu sidang media ketika mengadakan lawatan ke Pasar Awam Padang Tembak pagi ini.

Mengulas lanjut, Tung Seang memberitahu bahawa masyarakat kini dilihat semakin membiasakan diri dengan amalan jarak sosial di tempat awam di samping mengamalkan sanitasi tangan secara kerap.

“Di pihak MBPP, kami melakukan pembersihan secara berkala seperti penyemburan nyah cemar berasaskan Clorox di kawasan awam seperti pagar laluan awam serta mencuci lantai pasar dan sebagainya.

“Sekarang kita memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MBPP akan memastikan penguatkuasaan perintah ini dipatuhi oleh orang awam dalam membendung wabak pandemik COVID-19,” katanya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN