Keretapi bergerak lambat, bukan tersangkut – PHC

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BUKIT BENDERA – Operasi keretapi Bukit Bendera yang tergendala sehingga menyebabkan kira-kira 1,300 pengunjung ‘terkandas’ pada jam 6.50 petang 15 November lalu di sini adalah ekoran masalah komunikasi antara salah satu gerabak dengan sistem kawalan utama bagi stesen di sebelah atas.

Namun, apa yang dikesalkan pihak pengurusan Perbadanan Bukit Bendera (PHC) adalah insiden tersebarnya laporan mengatakan bahawa penumpang tersangkut dalam koc berikutan kegagalan pintu keretapi berfungsi.

Pengurus Besar PHC, Maklen Ali menegaskan bahawa tiada kes penumpang terperangkap di dalam gerabak.

“Kejadian sistem komunikasi koc yang terjadi telah menyebabkan salah satu koc bergerak dengan terlalu perlahan pada kadar 1.4 meter per saat berbanding kelajuan biasa enam meter per saat.

“Ini menyebabkan perjalanan sehala menjadi perlahan sehingga 20 minit berbanding masa asal tujuh minit,” ujar beliau pada satu sidang media khas sehari selepas kejadian di sini baru-baru ini.

Mengenai dakwaan bahawa pengunjung tidak dimaklum mengenai kejadian tersebut, pihak PHC sekali lagi menyangkal dakwaan berkenaan dengan menyatakan bahawa pihaknya ada membuat pengumuman beberapa minit selepas kejadian berlaku melalui pembesar suara.

“Mungkin ada penumpang yang ‘terlepas dengar’ pengumuman tersebut.

“Namun, pihak PHC telah memohon maaf atas kejadian yang menimpa 1,300 penumpang terbabit. Tambahan pula, sedikit kesulitan berlaku ketika usaha menurunkan kesemua penumpang yang hanya selesai tepat jam 11.30 malam,” ujar beliau lagi.

Pada majlis sama, PHC turut memaklumkan secara terperinci mengenai jadual selenggaraan yang sering dilakukan secara berkala dan mengikut jadual ditetapkan.

Selenggaraan harian adalah bermula seawal jam 5 pagi sebelum keretapi memulakan operasinya.

MAKLEN Ali (tengah) bersama dua kakitangan teknikal PHC pada satu sidang media khas di sini baru-baru ini.
MAKLEN Ali (tengah) bersama dua kakitangan teknikal PHC pada satu sidang media khas di sini
baru-baru ini.