Kerisik keluarga jana minat niaga pelbagai produk

Admin

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

RUPA bentuk kerisik yang siap dibungkus.
RUPA bentuk kerisik yang siap dibungkus.

BERMULA dengan niat untuk menambah pendapatan keluarga, suri rumah, Zaliha Abu Bakar, 46, ‘memberanikan’ diri menceburi bidang perniagaan.

Ketika itu, beliau yang dikurniakan tujuh cahaya mata melihat potensi perusahaan kerisik yang bukan hanya memiliki pasaran tersendiri, malah, permintaannya adalah amat tinggi daripada masyarakat berbilang kaum.

Mudah je buat kerisik. Orang selalu cari terutamanya masa kenduri. Nampak ini peluang untuk buat perniagaan,” katanya kepada Buletin Mutiara (BM) dalam sesi wawancara khas di kediamannya baru-baru ini.

Sejak lima tahun lalu, rutin Zaliha adalah bermula seawal 7 pagi hingga pukul 1 petang bagi menghasilkan kerisik yang pengeluarannya dijenamakan atas nama arwah ibunya, Asiah.

Menjelaskan proses penghasilan kerisik, Zaliha menyatakan bahawa ia bermula pada malam sebelum itu yang mana kelapa-kelapa yang dikupas dicuci dan dibiarkan kering.

ZALIHA Abu Bakar.
ZALIHA Abu Bakar.

Pada keesokan paginya, ia dikisar dan diayak bagi membuang kulit-kulit hitam. Kelapa kemudian digoreng dalam tempoh kira-kira lima jam sebelum dimasukkan ke dalam mesin penghancur bagi menghaluskannya. Ketika ini, minyak kelapa akan dihasilkan. Proses terakhir adalah pembungkusan.

Paling susah adalah untuk membungkus kerisik-kerisik yang dah siap kerana takde orang lain yang pandai bungkus untuk jadikannya kembang,” jelas Zaliha sambil menunjukkan contoh bungkusan kerisik yang telah siap dipek.

Kini, setiap hari, Zaliha dengan bantuan anak-anak dan ahli keluarga lain mampu menghasilkan kira-kira 200 bungkus kerisik siap. Jumlah kelapa basah yang digunakan adalah sebanyak 35 kilogram (kg).

Beliau yang menetap di Kampung Pertama, Permatang Pauh memberitahu, setiap bungkus kerisik yang dijual pada harga RM1 adalah seberat 70 gram.

PROSES menggoreng kelapa yang mengambil masa kira-kira lima jam.
PROSES menggoreng kelapa yang mengambil masa kira-kira lima jam.

Menceritakan pengalaman pembuatan kerisik, Zaliha tidak menafikan bahawa tugasnya sebagai ibu kadang-kala melekakan beliau sehingga kelapa yang digoreng menjadi hangit dan terpaksa dibuang.

Lupa tengah masak kat dapur. Kalu (kelapa) hitam sangat, terpaksa kena buang.

Sedih buang lagu tu je. Hilang berpuluh-puluh ringgit,” ujar beliau.

Ketika ditanya mengenai keunikan kerisiknya, Zaliha menyatakan bahawa tiada bahan campuran tambahan dalam minyak kelapa kerisik beliau.

Ia adalah 100 peratus asli. Kalau minyak dicampur, ia berbau lain dan tidak tahan lama sebagaimana yang asli yang mampu disimpan selama setahun,” ujar Zaliha.

Bagi perancangan masa depan, Zaliha menyatakan bahawa beliau ingin memperluaskan perniagaannya dengan mempelbagaikan produk keluaran beliau.

Kini, selain kerisik, beliau turut menghasilkan laksa tepung gandum mengikut permintaan semasa.

Selain itu, Zaliha turut terlibat dalam perusahaan katering. Malah, beliau kini dalam proses untuk menghasilkan air soya.

Dalam pada itu, beliau kini telah mula berjinak dengan perusahaan penghasilan muruku.

”Memang best!” komen ringkas pasukan BM yang berpeluang merasai produk muruku dihasilkan Zaliha.

INFO :

ASIAH FOOD ENTERPRISE

1391 MK 4, Kampung Pertama,

13500 Permatang Pauh.

Tel. : 04 – 398 7301 / 019 – 428 8312