Kerja awalan projek pembaharuan semula Rumah Pangsa Padang Tembak dilaksana tahun depan

GEORGE TOWN – Kerja-kerja awalan bagi projek Pembaharuan Semula Bandar (URC) Rumah Pangsa Padang Tembak dijangka akan dilaksanakan pada tahun depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata kerja-kerja tersebut antaranya adalah membabitkan draf kajian fisibiliti, bancian penduduk dan pengesahan hak milik tanah.

“Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah melancarkan agenda Rumah Mampu Milik Pulau Pinang (RMMPg) yang terdiri daripada pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan juga projek URC.

“Pada peringkat ini, Pulau Pinang mempunyai pelan induk yang mana kita telah mengenal pasti 14 projek yang akan dilaksanakan oleh LPNPP iaitu dengan komposisi sembilan projek RMM dan lima projek URC di bahagian pulau.

“Projek URC Padang Tembak adalah salah satu daripada (projek) yang disenaraikan untuk kita lihat bagaimana kita boleh buat pembaharuan semula.

“Cuma, Rumah Pangsa Padang Tembak merupakan projek perumahan paling lama dan mempunyai terlalu banyak unit berbanding skim perumahan yang lain jadi ia mengambil sedikit masa lagi.

“Namun begitu, kerja-kerja awalan seperti draf kajian fisibiliti, bancian penduduk dan pengesahan hak milik tanah akan mula dilaksanakan pada tahun depan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee semasa dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa melalui projek pembaharuan semula tersebut, setiap pemilik sedia ada di projek perumahan Padang Tembak akan diberikan satu unit rumah percuma berkeluasan 750 kaki persegi.

“Pemilik unit yang kini berkeluasan 200 atau 300 kaki persegi yang hanya mempunyai satu bilik dan satu tandas akan diberikan satu unit percuma berkeluasan 750 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua tandas.

“Inilah apa yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bukan sahaja di Padang Tembak tetapi juga di beberapa tempat yang lain dan kita akan teruskan projek ini.

“Di Padang Tembak isunya adalah terlalu besar yang memerlukan kita melihat dari segi perancangan bagaimana ia boleh dilaksanakan,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS