Kerja baik pulih tebing runtuh Jalan Bukit Lama mula minggu hadapan – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerja-kerja membaik pulih tebing runtuh dekat Jalan Bukit Lama membabitkan laluan dari Bayan Lepas ke Balik Pulau dijangka bermula minggu hadapan.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 juta bagi tujuan berkaitan.

“Susulan lawatan ke tapak tebing runtuh pada 5 November lalu, saya telah membuat permohonan, dan dua hari selepas itu, melalui surat JKR Pusat sejumlah RM1.7 juta telah diluluskan.

“(Dan) kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan segera dan dijangka dimulakan minggu hadapan selepas surat lantikan kontraktor keluar Isnin ini,” ujarnya pada sidang media sejurus sesi perbentangan Belanjawan 2019 Pulau Pinang oleh Ketua  Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Dewan Undangan Negeri tadi.

Menurut Zairil, kerja-kerja baik pulih tebing akan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan bergantung kepada keadaan cuaca.

“Dijangkakan, kerja-kerja baik pulih ini akan siap dalam bulan Februari atau Mac tahun hadapan.

“(Dan) sepanjang kerja-kerja baik pulih dijalankan, hanya separuh jalan dibuka (satu lorong), itupun hanya untuk kenderaan ringan sahaja,” jelasnya.

Dalam kejadian pada 23 Oktober lalu, tebing di laluan menuju ke Balik Pulau dari Bayan Lepas runtuh dipercayai akibat hujan lebat berlarutan selama beberapa jam.

Ekoran itu, jalan yang merupakan Jalan Persekutuan itu, ditutup untuk kenderaan berat buat sementara waktu.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING