JABATAN Audit Negara sebenarnya bukan sahaja mengiktiraf integriti urus tadbir kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, bahkan, penyata kewangan negeri dikatakan menerima pengiktirafan verbal daripada pusat.
Wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB dan Jurugambar, ALISSALA THIAN mendekati Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mokhtar Mohd. Jait bagi menyingkap rahsia di sebalik rekod kejayaan itu.
BM : Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang dikatakan mempunyai rekod urus penyata kewangan yang mahir sehingga menerima perhatian positif daripada kerajaan pusat. Sejauhmana kebenaran itu, Dato’?
Dato’ Mokhtar : Tahun ini, kita (Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang) diiktiraf lagi sebagai Kerajaan Negeri yang menguruskan penyata kewangan terbaik. Kita mempunyai pengurusan akaun terbaik berbanding negeri-negeri lain.
Dalam mesyuarat-mesyuarat Exist Conferences yang diadakan pada hujung setiap tahun (yang disertai oleh) Ketua Audit Negara bersama-sama Jabatan Audit Negara dan Jabatan-Jabatan Negeri di dalam negeri (atau) agensi-agensi negeri, nama Pulau Pinang seringkali dipuji-puji kerana kita konsisten menyediakan rekod penyata kewangan terbaik berbanding negeri-negeri lain seperti yang diminta oleh Jabatan Audit Negara.
Kita (Pulau Pinang) merupakan negeri mula-mula sekali menyediakan penyata kewangan kepada (Jabatan) Audit Negeri, paling cepat berbanding negeri-negeri lain. Sejak tahun 2006 lagi, kita (Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang) telah menyerahkan penyata kewangan sebelum tarikh dan masa yang ditetapkan oleh (Jabatan Audit Negara) iaitu bagi tahun 2006, kita menyerahkan Penyata Kewangan Negeri Pulau Pinang untuk proses pengauditan pada 9 Februari 2007. Serahan kita pada tahun-tahun berikutnya pada 16 April 2008 (bagi Penyata Kewangan 2007), 19 Januari 2009 (bagi Penyata Kewangan 2008), 19 Januari 2010 (bagi Penyata Kewangan 2009) dan 18 Januari 2011 (bagi Penyata Kewangan 2010). Seperti tahun ini, kita telah menghantar (Penyata Kewangan 2011) pada 16 Januari (2012). Dulu (Penyata Kewangan 2010) kita serahkan pada 18 Januari (2011). Ini bermakna, kita telah mengurus pernyata kewangan negeri paling baik. Itu juga menyumbang pada amalan urus tadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang sehingga menerima pengiktirafan banyak pihak, termasuk Jabatan Audit Negara walaupun secara verbal.
BM: Apakah rahsia di sebalik semua rekod kejayaan itu?
Dato’ Mokhtar : Sebenarnya kita tidak mempunyai apa-apa rahsia sehingga diiktiraf dalam mesyuarat-mesyuarat Exist Conferences saban tahun. Sistem (Penyata Kewangan) yang digunakan oleh kita di Pulau Pinang ini, sebenarnya sama dengan sistem yang digunakan di negeri-negeri lain. Semua negeri menggunakan sistem yang sama, yang disediakan oleh kerajaan pusat. Sistem ini dikenali sebagai SPEKS (atau) Sistem Perakaunan Berkomputer Standard.
Proses menghantar penyata kewangan ini bukan sahaja melibatkan Jabatan Kewangan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) di Komtar ini, tetapi seluruh jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri kerana proses kewangan berlaku di semua tempat-tempat tersebut. Jadi, proses menghantar laporan penyata kewangan negeri ke pusat (yang dilakukan) setiap hari secara online tidak mungkin
boleh berjalan lancar kalau tidak ada kerjasama dari jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawah kita.
BM : Sepanjang menguruskan sumber manusia dan dokumen mengenai kewangan, apakah pengalaman yang paling sukar dihadapi? Maksudnya, karenah pekerja jika ada?
Dato’ Mokhtar : Dari semasa ke semasa, kita (Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang) di Komtar ini akan mengadakan latihan seperti tutorial kepada semua peringkat jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri supaya mereka benar-benar mahir dengan sistem SPEKS ini.
Kursus-kursus yang biasa kita laksanakan antaranya adalah Kursus Penambahbaikan SPEKS – Modul PTJ Kewangan, Kursus Pengukuhan Kewangan SPEKS.
Melalui latihan berterusan sebegini menjadikan kita (Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang) sebagai pasukan kerja yang mahir, berdisiplin, saling bekerjasama, lengkap-melengkapi dan paling penting fokus pada kerja yang begitu teknikal yang diamanahkan oleh Jabatan Audit Negara.
BM : Kerajaan Negeri sebelum ini pernah didakwa tidak membelanjakan peruntukan pembangunan sehingga lebihan kewangan atau surplas meningkat. Bolehkah Dato’ jelaskan perkara yang sebenar mengenai dakwaan tersebut?
Dato’ Mokhtar : Apa yang dinyatakan oleh pihak tertentu itu sebenarnya tidak berdasarkan fakta. Yang benar, adakalanya kurang dan adakalanya bertambah tetapi bukan bermakna kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) langsung tidak berbelanja.
Peruntukan Belanja Mengurus ke Akaun Pembangunan Kerajaan Negeri pada tahun lepas (2011) adalah sebanyak RM171.05 juta, RM225.90 juta (2010), RM169.29 juta (2009) dan RM151.90 juta (2008).
BM : Sebagai pengakhiran wawancara kita ini, apakah harapan yang mungkin Dato’ mahu berkongsi dengan pembaca Buletin Mutiara?
Dato’ Mokhtar : Harapan saya, budaya kerja berpasukan di Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang ini dapat kita kekalkan bersama dengan satu matlamat iaitu mahu Pulau Pinang kekal sebagai imej nombor satu dalam segenap segi berbanding negeri-negeri lain.
Malah, saya percaya latihan akan meningkatkan kemahiran bekerja. Saya percaya kualiti kerja terbaik adalah kerja secara berpasukan. Kerja secara berpasukan telah melonjak imej Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang diiktiraf (secara verbal) oleh Jabatan Audit Negara.