Kerja bina paip lencong sementara rentas Sungai Perai akan dimulakan

Admin
58c10074 49cb 44e6 bb7e 804b7c562e29 KETUA Menteri (tiga dari kiri) bersama-sama Zairil Khir Johari (kanan sekali), Jason H’ng Mooi Lye (kiri sekali) dan wakil PBAPP (dua dari kiri) saling berbincang mengenai syor pembinaan paip lencong sementara merentasi atas Sungai Perai berhampiran Jambatan Ampang Jajar di sini pada 13 Januari 2024.

SEBERANG JAYA – Projek pembinaan paip lencong sementara yang merentasi atas Sungai Perai akan dimulakan pada tengah malam ini.

a819e7eb 4aee 4915 b729 3c03e42cd4af
KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap proses pemulihan air sepenuhnya akan dapat disempurnakan pada 6 pagi esok (14 Januari 2024) sebagaimana disasarkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebelum ini.

“Kerja-kerja yang terbabit adalah membina struktur sementara, supaya dua paip (lencong sementara) 600 milimeter (mm) dapat diletakkan di atas struktur ini iaitu kira-kira 10 meter (m) jauh dari Jambatan Ampang Jajar serta tidak akan menjejaskan (aliran trafik) Jambatan Ampang Jajar ini.

“Paip lencong sementara ini akan dibina (merentasi atas Sungai Perai) bagi menyambungkan dengan paip-paip sedia ada,” jelasnya seusai melawat tapak cadangan projek berkaitan dekat Sungai Perai di sini pada 13 Januari 2024.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye serta ‘pasukan’ PBAPP turut sertai sidang media tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa kerja-kerja pemajuan paip lencong sementara di sini tidak akan menjejaskan pembekalan air terawat ke semua kawasan di bahagian Seberang Perai serta di Daerah Timur Laut.

“Sebab (paip sedia ada di dasar Sungai Perai) ini menyalurkan air ke Daerah Barat Daya, maka, Barat Daya merupakan kawasan yang mungkin terjejas.

“Tetapi, kita (PBAPP) masih membenarkan penyaluran air dengan tekanan rendah (ke Daerah Barat Daya),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sehingga 12.30 tengah hari ini, Kon Yeow memaklumkan bahawa proses pemulihan air ke Daerah Barat Daya telah mencapai 90 peratus.

“Masih ada beberapa kawasan (sekitar kawasan hujung paip agihan, EoL) yang sedang dipulihkan,” ujarnya.

Tambah beliau, Mooi Lye sedang menggerakkan kesemua aset air milik PBAPP, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Persatuan Bomba Sukarela (PBS) seperti lori tangki air dan sebagainya ke kawasan-kawasan terjejas berbaki kira-kira 10 peratus dekat Daerah Barat Daya, sehingga proses pemilihan mencapai 100 peratus di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS