FENOMENA ‘kerja cari orang’ yang berlaku di sektor-sektor perindustrian sekitar negeri ini sehingga kini masih berlaku, dan dijangka akan terus menarik minat muda-mudi untuk memburu kerjaya dengan skim gaji menarik dalam tempoh sehingga beberapa tahun ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam acara forum Santai Anak Madani yang dikemudikan oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin iaitu Setiausaha Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PMX) di Seberang Jaya pada 15 Februari 2024.
“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) tidak menafikan adanya pemberhentian kerja, tetapi di Pulau Pinang, suasana ‘kerja cari orang’ masih dan dengan cepatnya berlaku,” jelasnya sebagai menjawab soalan seorang pendengar berhubung isu pemberhentian pekerja sektor perkilangan tertentu yang melibatkan kelompok muda-muda.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, berbekalkan pengalaman serta pembangunan sektor perindustrian selama 54 tahun di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri hari ini komited untuk memacu pembangunan negara dengan menawarkan konsep ketersedian dari segi infrastruktur taman-taman perindustrian seperti di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
“Projek Pulau Silikon berkeluasan 930.8 hektar (umpamanya), saya percaya projek-projek penambakan telah mewujudkan tanah yang berharga untuk menyokong peningkatan permintaan perindustrian bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka jangka panjang.
“Kerajaan Negeri, berhasrat untuk mencontohi kejayaan ini untuk terus memacu Pulau Pinang ke hadapan,” ujarnya.
Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri hari ini berhasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai hab elektrik dan elektronik (E&E) global bagi sektor pembuatan bernilai tinggi.
“(Hasrat itu) bagi memenuhi keperluan perniagaan pada masa hadapan di samping memacu (pertumbuhan) ekonomi hijau,” ulasnya sambil merakamkan penghargaan atas sokongan daripada pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim kini.
Kekal sebagai antara negeri hab pelaburan negara, difahamkan, pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga September 2023 direkodkan paling tinggi iaitu RM44.9 bilion.
Kon Yeow menyatakan bahawa pada suku ketiga tahun 2023 menyaksikan aliran masuk FDI berkaitan sektor pembuatan yang diluluskan ke Pulau Pinang berjumlah RM35.8 bilion.
“(Angka RM35.8 bilion it adalah menyamai) peningkatan enam kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Ini membuktikan Pulau Pinang sekali lagi memainkan peranan sebagai penyumbang utama FDI di negeri ini dengan menguasai sebanyak 42 peratus (industri) pembuatan utama di Malaysia,” katanya.
Pun begitu, Kon Yeow mengaku bahawa Pulau Pinang ketika ini masih tidak terlepas pada beberapa cabaran, antaranya adalah isu tekanan air rendah di daerah SPS bagi memenuhi keperluan pertumbuhan industri baharu pada masa hadapan.
Menyedari cabaran tersebut, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah dan akan melaksanakan projek di bawah Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) bagi memastikan jaminan bekalan air di negeri ini terus mampan.
Di bawah RWCP 2030, Kon Yeow menjelaskan bahawa terdapat lapan komponen utama dengan pelaburan berjumlah RM1.184 bilion.
“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) sebenarnya telah melancarkan Pelan Kontingesi Air Mentah 2030 yang mana akan melaksanakan lapan projek sementara menunggu Projek Air Perak – Pulau Pinang (siap sepenuhnya).
“Kalau kita (Pihak Berkuasa Negeri) dapat menyelesaikan pelan cegah rintah air negeri ini menjelang 2030, kita dapat menambah kapasiti air (terawat) kita sehingga 800 juta liter sehari (JLH) iaitu hampir 50 peratus tambahan (daripada 1,400 MLD yang diperlukan di negeri ini ketika ini),” jelasnya di depan hampir 300 hadirin dalam kelompok umur antara 20-an hingga 40-an.
Mengakhiri forum tersebut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa beliau sedikit lega apabila Kerajaan Negeri hari ini adalah pihak yang sama dengan Kerajaan Madani yang ditubuhkan peringkat Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.
Sehubungan itu, beliau berharap projek transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas ke George Town yang akan berakhir di Penang Sentral dekat Butterworth, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta beberapa projek keutamaan lain dapat disegerakan bagi memenuhi permintaan industri baharu pada masa hadapan, sekali gus menarik lebih ramai anak muda untuk memburu kerjaya berkualiti di negeri ini.