Kerja fizikal berskala besar projek LRT Laluan Mutiara jangka mula suku keempat 2026

img 20250425 wa0052

GEORGE TOWN – Kerja-kerja fizikal berskala besar bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Pulau Pinang dijangka dapat dimulakan pada suku keempat tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, kontraktor yang dilantik akan memulakan proses siasatan tanah sebelum memuktamadkan reka bentuk dengan mengambil kira keadaan tanah tersebut.

“Selepas memuktamadkan reka bentuk, perkara pertama yang pihak kontraktor perlu lakukan adalah mengenal pasti dan mengalihkan utiliti yang terdapat di lokasi tapak projek.

“Jadi, dalam tempoh kira-kira enam bulan akan datang, kita dapat melihat beberapa jentera akan ditempatkan di tapak-tapak projek untuk proses pengalihan utiliti.

“Namun begitu, kerja-kerja berskala besar seperti pemasangan tiang pilar hanya dapat dijalankan pada suku keempat tahun depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri LRT Laluan Mutiara 2025 dekat The Top, Komtar di sini sebentar tadi.

Mohd. Zarif berkata, projek pembinaan LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang akan mengambil masa lima tahun dan dijangka siap pada 31 Disember 2031.

“Ini normal dalam pembinaan projek mega yang mengikut prinsip ‘S-Curve’ yang mana ada bahagian mengambil masa lebih lama dan akan menjadi pantas apabila mencapai tahap tertentu.

“Saya tahu jangkaan daripada penduduk Pulau Pinang sangat tinggi kerana mereka sudah lama menunggu projek LRT tetapi kita akan melakukan yang terbaik untuk menyiapkan projek ini,” katanya.

Pada 21 April lalu, MRT Corp dalam kenyataan berkata bahawa pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang kekal mengikut jadual dan perancangan.

Kemajuan ketara telah dicapai dalam tempoh tiga bulan lepas, antaranya kelulusan kerja-kerja awal di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, yang diperoleh pada 15 April 2025.

“MRT Corp juga telah mencatat kemajuan signifikan dalam proses pengambilan tanah, dengan akses diperoleh ke atas 86 lot setakat ini, serta pewartaan mengikut Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960, telah diselesaikan,” kata kenyataan itu.

Kemajuan yang dicapai lebih awal daripada sasaran asal pada Oktober 2025 itu dianggap sebagai pencapaian penting dalam memastikan projek kekal berada di landasan yang betul.

LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang sepanjang 29.5 kilometer itu merangkumi 21 stesen strategik dan direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya serta mempertingkat aksesibiliti.

Pelan jajaran utamanya merangkumi laluan dari Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di Georgetown,dengan perkhidmatan tren dijadualkan bergerak secara bergilir di sepanjang laluan berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN