GEORGE TOWN – Kerja-kerja fizikal bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau optimis bahawa kerja-kerja fizikal dapat dilaksanakan tahun ini setelah mendengar perkembangan terkini berhubung projek tersebut yang telah dibentangkan di Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada pagi ini.
“Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Datuk Mohd. Zarif Hashim bersama-sama Pengarah Projek Laluan Mutiara, Azmi Rahman telah hadir ke pejabat saya pada 11 Mac lalu.
“(Dan) pada pagi ini, pembentangan mengenai perkembangan semasa projek berkenaan juga diadakan di hadapan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.
“Berdasarkan pembentangan, terdapat tiga perkara iaitu mengenai perkembangan semasa pelaksanaan Projek LRT Laluan Mutiara; cadangan pembangunan Tapak Pesta Pulau Pinang di bawah konsep Transit Oriented Development (TOD) dan status pengambilan serta permohonan tanah,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.
Menurut Kon Yeow, mulai hari ini sehingga 14 Mac, pihak MRT Corp. bersama-sama SRS Consortium selaku kontraktor yang dilantik dan pihak Kementerian Ekonomi sedang mengadakan makmal kajian nilai atau ‘value management lab’.
Makmal kajian nilai ini adalah bagi memuktamadkan reka bentuk dan kos projek yang mana peringkat ini penting (berhubung butiran yang dimuktamadkan) untuk dimasukkan dalam perjanjian.
“Maka, selepas peringkat ini yang dijangka berakhir pada Jumaat ini, banyak perkara yang perlu disusuli.
“Berhubung kelulusan permohonan untuk kebenaran merancang, Seksyen 20A Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) secara rundingan akan diguna pakai.
“(Hal ini kerana), terdapat pengecualian dalam kebenaran merancang yang mana mereka (pelaksana projek) perlu mendapatkan maklum balas serta ulasan daripada agensi-agensi teknikal.
“Saya dimaklumkan bahawa pada 25 Februari 2025, permohonan telah dikemukakan kepada pihak PLANMalaysia untuk semakan dan ulasan bagi memulakan kerja-kerja fizikal di tapak.
“Perkara ini merupakan sebahagian daripada peringkat pelaksanaan projek yang mana semuanya berjalan secara serentak membabitkan banyak komponen dan isu-isu teknikal termasuk pembiayaan, perancangan serta reka bentuk,” jelasnya.
Di samping itu, tambah Kon Yeow, skim rel (railway scheme) yang diluluskan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga perlu diserahkan kepada pihak MRT Corp. bagi tujuan pengemaskinian jajaran tambahan dari Macallum ke Penang Sentral di bahagian Seberang Perai.
“Ini disebabkan kelulusan awal tidak melibatkan jajaran ini dan perlu dimasukkan dalam Pakej 2 (jajaran Macallum ke Penang Sentral) melibatkan dua pemegang taruh iaitu Penang Port Commission (PPC) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
“Buat masa ini, kerja-kerja ‘soil investigation’ (kajian mengenai situasi tanah sebelum perancangan sesuatu pembangunan) sedang dijalankan di beberapa lokasi,” katanya.
Bagi cadangan pembangunan di Tapak Pesta, Kon Yeow memaklumkan bahawa selain membina stesen, sebuah depoh sekunder turut dicadangkan untuk dibangunkan.
Pembangunan (depoh sekunder) ini dianggap sebagai TOD memandangkan terdapat tanah yang cukup luas (untuk dibangunkan).
“MRT Corp. juga telah membentangkan cadangan ini dengan mengambil kira pandangan Y.A.B. Perdana Menteri supaya sebahagian Tapak Pesta dikekalkan kerana telah menjadi warisan untuk Negeri Pulau Pinang.
“(Dan) secara dasar, kita (Kerajaan Negeri) setuju dengan cadangan tersebut yang mana kini pihak MRT Corp. perlu mengemukakan surat rasmi berhubung maklum balas daripada Kerajaan Negeri,” ulasnya lanjut.
Menyentuh mengenai status pengambilan tanah, kata Kon Yeow, melalui Mesyuarat MMK pagi tadi, secara prinsip telah meluluskan pengambilan tanah oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan di sepanjang jajaran di daerah Timur Laut dan Barat Daya.
(Pengambilan tanah ini) ada yang melibatkan tanah persendirian dan juga tanah kerajaan termasuk tanah pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Perbadanan Pembanguanan Pulau Pinang (PDC).
“Notis pengambilan akan disampaikan kepada pemilik-pemilik tanah setelah diwartakan kelak dan dijangka ia membabitkan lebih 100 pemilik tanah,” katanya.
Menjawab soalan pemberita selepas itu mengenai bayaran pampasan kepada pemilik tanah, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa ia perlu melalui proses penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan pendengaran awam melibatkan pemilik-pemilik tanah.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT