Kerja-kerja mitigasi dan penstabilan cerun giat dijalankan, bukan tukar warna kanvas – Exco

ZAIRIL Khir Johari menunjukkan kawasan cerun yang sedang dijalankan kerja-kerja mitigasi.

TANJUNG BUNGAH – ‘Kanvas kelabu’ yang didakwa digunakan untuk menutup cerun di Jalan Chan Siew Teong, Tanjung Bungah adalah kerja-kerja mitigasi penstabilan cerun.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan banjir, Zairil Khir Johari dalam satu sidang media, di pusat khidmatnya pagi tadi.

“Warna kelabu itu adalah geotekstil yang lebih bagus berbanding kanvas biru yang pernah digunakan sebelum ini dan ia lebih membantu berbanding kaedah lama.

“Isu ini merupakan salah satu isu yang cuba saya tangani sejak dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah pada pilihan raya lalu.

“Pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan saya banyak mengadakan perbincangan dengan pemaju terlibat yang mana kita tegaskan bahawa mereka perlu membaiki cerun tersebut.

“Mereka juga perlu dapatkan kebenaran daripada pemilik-pemilik tanah di kawasan itu (21 pemilik) untuk kerja-kerja pensatabilan cerun terdedah kerana perkara itu adalah tanggungjawab pemaju, jadi itulah kerja-kerja peringkat awal menstabilkan cerun tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin pembangkang, Hng Chee Wey yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada 8 April lalu.

Chew Wey dalam statusnya mendakwa bahawa tindakan penstabilan tersebut dijalankan hanya melalui penukaran kanvas iaitu dari warna biru kepada kelabu.

Zairil juga menegaskan bahawa dalam mengatasi perkara tersebut, pihak pemaju telah melantik perunding bebas untuk kerja-kerja mitigasi, seperti yang diluluskan oleh pihak MBPP.

“Jadi, kerja-kerja telah dimulakan pada bulan lepas (Mac) dan dijangka mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan.

“Antara skop projek yang terlibat termasuklah pemakuan tanah, pembinaan teres dan pembinaan tembok cerucuk untuk menstabilkan cerun di kawasan terbabit,” jelasnya lagi.

Menceritakan kronologi pembangunan kawasan tersebut, Zairil memberitahu, kebenaran merancang telah diluluskan oleh MBPP pada 24 Februari 1995 untuk pembinaan dua blok pangsapuri.

“Termasuk dalam syarat itu adalah pembinaan jalan tetapi jalan itu tidak siap dan ditinggalkan begitu sahaja.

“Pada tahun 2015, pemaju menulis kepada MBPP untuk menyambung semula kerja-kerja itu menggunakan kebenaran merancang yang sama dan masih sah.

“Tanpa kebenaran 21 pemilik tadi, kerja-kerja penstabilan cerun tidak dapat dapat dijalankan, namun kini perkara tersebut selesai atas desakan Kerajaan Negeri dan MBPP,” jelasnya lagi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI