GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa kerja-kerja tanah bagi Projek Lebuhraya Bertingkat Juru – Sungai Dua akan dilaksanakan dalam suku keempat tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2030.

Beliau berkata, projek bernilai RM3 bilion yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan tersebut akan memisahkan kenderaan dalam mod laluan terus (through traffic) dan laluan trafik tempatan (local traffic) sekali gus akan merosotkan kesesakan trafik teruk di kedua-dua arah dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua.
“Maksudnya akan ada laluan utama ekspres yang akan membawa kenderaan dalam mod laluan terus (dari Tol Juru ke Sungai Dua), dan susur keluar (untuk) membawa kenderaan laluan trafik tempatan.
“Projek ini sama seperti di Ipoh, Perak yang mana kenderaan yang hendak menggunakan laluan terus tidak perlu lagi keluar tol, sementara kenderaan yang hendak bergerak trafik setempat sahaja perlu keluar di tol.
“Projek lebuh raya bertingkat tidak seperti sekarang yang mana sama ada kenderaan yang hendak bergerak terus atau susur keluar ke laluan setempat, tidak ada pilihan melainkan mesti keluar ke Tol Juru terlebih dahulu (dan masuk kembali ke Lebuh Raya Utara Selatan di Tol Sungai Dua),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 6 Mac 2025.
Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa Projek Lebuhraya Bertingkat Juru – Sungai Dua yang terdiri daripada lapan fasa itu juga akan ditambah baik menjadi lebuh raya tanpa lampu isyarat.
“Dalam lapan fasa itu, pada lampu trafik persimpangan Juru, selepas ini, persimpangan akan ditutup dan dijadikan pusingan U sahaja,” jelasnya lagi sambil berharap agar projek tersebut dapat menangani kesesakan trafik di persimpangan berlampu isyarat dekat Jalan Kebun Nenas, Bukit Tengah.
Menurutnya lagi, bulatan Seberang Jaya juga akan direka bentuk semula separas tanah (atgrate) juga tanpa lampu isyarat bagi melancarkan pergerakan kenderaan ke Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
“Panjang jajaran keseluruhan lebuh raya ini adalah 17.4 kilometer (km) dengan jajaran bertingkat hampir 8.95km,” jelasnya lagi.
Menjawab soalan pemberita, Zairil memberitahu bahawa buat masa ini Pihak Berkuasa Negeri belum dimaklumkan mengenai cadangan penambahan kadar tol bagi pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang disebabkan pembinaan Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua.
“Buat masa ini, Kerajaan Negeri belum dimaklumkan mengenai perkara itu,” respons Zairil lagi.
Dalam perkembangan lain, Zairil turut mengumumkan mengenai cadangan projek menaik taraf jalan dari persimpangan Seksyen 765 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) ke Permatang Pak Elong (Seksyen 733) FT001.
Dalam projek tersebut, beliau memberitahu bahawa panjang jalan adalah 8km yang mana melibatkan projek penaiktarafan dua lorong sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong.
“Kerja-kerja pemasangan lampu jalan, lampu isyarat, menaik taraf sistem perparitan dan pemasangan perabot jalan berkaitan juga akan dijalankan.
“Tujuh persimpangan sedia akan terlibat dalam kerja-kerja mnaik taraf ini yang mana lima persimpangan akan ditutup dan diubah kepada ‘Left In Left Out’ (LILO) sahaja dengan pusingan ‘freeflow U-Turn’ dan dua persimpangan akan dinaik taraf dengan lampu isyarat,” jelasnya.
Dengan anggaran kos kira-kira RM561,662,213.46, beliau memberitahu bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) beradang untuk memulakan kerja-kerja awalan pada suku ketiga tahun ini juga (Q3 2025).
ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Dato’ Ir. Ahmad Nadzri Bin Abdul Majid; dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid antara pemimpin negeri yang menyertai sidang media bersama-sama Zairil tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD