Kerja-kerja tanah tanpa kebenaran, bilangan tenaga kerja serta masa pemantauan bakal dipertingkat – Exco

Admin

Kerja-kerja tanah tanpa kebenaran, bilangan tenaga kerja serta masa pemantauan bakal dipertingkat – Exco

GEORGE TOWN – Operasi pemantauan sehingga 31 Mac 2019 oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berhubung kerja-kerja tanah tanpa kebenaran masing-masing adalah sejumlah 44 lot tanah di bahagian pulau dan Seberang Perai (64).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa pihaknya akan meningkatkan bilangan tenaga kerja serta masa pemantauan, serta menggunakan alatan dron dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) demi menangani isu berbangkit ini.

“Kerajaan Negeri juga akan mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja tanah…mengambil tindakan mahkamah (dengan) denda maksimum RM500,000,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat semasa Sesi Soal Jawab Lisan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 2 Mei 2019.

Penjelasan Jagdeep itu adalah sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Tambah Jagdeep lagi, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam peringkat akhir proses menggubal Undang-Undang Kecil (Kerja Tanah) 2018 dengan mengambil kira isu semasa yang sedang berlaku serta kepentingan awam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI