Kerja lebih gigih capai matlamat prestasi cemerlang

53ceaddd 23f8 4a17 89a1 be0b3d5f24c3

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. menyeru kepada rakyat, parti politik, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan pihak swasta untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri memajukan Pulau Pinang ke arah sebuah negeri makmur.

Menurut beliau, dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat, Pulau Pinang berada di landasan tepat ke arah memacu sebagai kuasa ekonomi Malaysia.

“Setelah hampir 16 tahun kita mengambil tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri, kita berjaya membawa Pulau Pinang ke arah yang baik dari pelbagai aspek.

“Ini merupakan penggal kedua saya sebagai Ketua Menteri dan tinggal lagi beberapa tahun, saya percaya kita telah mulakannya dengan baik maka saya mahu ia juga berakhir dengan lebih baik lagi.

“Kalau mahu capai lebih baik, kita perlu bekerja lebih gigih untuk dapatkan sokongan daripada rakyat, dapatkan sokongan jentera kerajaan supaya apa yang kita letakkan sebagai matlamat dapat kita capai dengan prestasi yang cemerlang,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Tanjong di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Yong juga selaku tuan rumah; Mantan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng: ADUN Komtar, Teh Lai Heng; dif-dif kehormat lain serta pemimpin masyarakat setempat.

Bercakap mengenai tradisi rumah terbuka, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan optimis bahawa ia masih menjadi wadah terbaik penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Malah, saya juga dapat melihat keeratan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini merayakan Hari Raya Aidilfitri sambil menikmati juadah yang disediakan.

“Kemesraan dalam kepelbagaian budaya dan agama inilah yang menjadikan kita unik, dan kita hendaklah sentiasa menghormati serta berusaha mengukuhkan iltizam perpaduan sesama kita.

“Dalam kita meraikan ‘hari kemenangan’ ini, marilah kita bersama-sama mengorak langkah ke arah kesejahteraan dan kehormonian agar Pulau Pinang terus membangun, maju dan makmur,” ulas ADUN Padang Kota itu lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT