Kerja naik taraf Komtar Walk kini 90 peratus, dijangka siap hujung Februari

GEORGE TOWN – Kerja-kerja bagi projek menaik taraf Komtar Walk berhadapan Jalan Dr. Lim Chwee Leong bernilai RM2.1 juta kini telah 90 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung bulan Februari ini.

 

 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, apabila siap kelak ia mampu memberikan nilai tambah dan meningkatkan potensi bangunan ikonik tersebut.

 

“Sebelum ini, pintu masuk ke kawasan ini agak terlindung dan menyukarkan orang ramai menyebabkan kurangnya nilai komersial di sini.

 

 

“(Dan) apabila siap kelak, kawasan ini akan menjadi lebih terbuka dan lebih memudahkan orang ramai untuk ke pasar raya, Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta pejabat-pejabat kerajaan yang ada di sini,” ujarnya yang berharap agar projek ini dapat disiapkan lebih awal.

 

 

Terdahulu, Lai Heng bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Setia Urus Sdn. Bhd., Ahmad Zuhairi Ismail dan Ketua Pegawai Operasi PDC Nusabina Sdn. Bhd., Muhammad Farid Ab. Rasid mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di sini.

 

 

Dalam pada itu, Muhammad Farid ketika ditemui memberitahu bahawa pihaknya akan cuba membuka sebahagian kawasan ini sebelum sambutan Tahun Baru Cina seperti yang diharapkan oleh Lai Heng.

 

 

“Sekurang-kurangnya kawasan parkir dan landskap akan dibuka awal,” katanya.

 

 

Difahamkan, antara skop kerja terlibat adalah merobohkan binaan lama, pembinaan tujuh lot kedai baharu, baiki kebocoran, kerja landskap, naik taraf tandas, pembinaan parkir serta kerja-kerja mekanikal dan elektrik.

 

 

Sebanyak 59 ruang parkir disediakan untuk kereta dan 40 lagi untuk motosikal manakala kawasan lapang boleh dijadikan sebagai lokasi penganjuran program berskala kecil dan sederhana.

 

 

Bagi mereka yang berminat untuk menyewa lot kedai di sini, bolehlah menghubungi PDC Setia Urus Sdn. Bhd. di talian 04-262 3705 atau layari laman web rasmi.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD