Kerja naiktaraf jalan RM16.1 juta demi rakyat

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pemangku Timbalan Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), A. Rajendran baru-baru ini mengumumkan baki tiga projek menaiktaraf Jalan Masjid Negeri di sini dan kawasan sekitarnya kini masih lagi dalam fasa perancangan dan implementasi.

Tiga projek tersebut merangkumi kerja menaiktaraf di sebahagain Bulatan Udini, menaiktaraf Jalan Masjid Negeri dan kawasan sekitarnya serta menambahbaik aliran lalulintas di Jalan Masjid Negeri dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata, tujuan ketiga-tiga projek tersebut adalah untuk melegakan kesesakan dan melicinkan aliran lalulintas sepanjang Jalan Masjid Negeri dan persimpangan-persimpangan yang terlibat.

“Di antara kerja-kerja menaiktaraf dan penambahbaik ialah membina aliran bebas ‘u-turn’ dalam struktur jambatan di sebahagian Bulatan Udini, meluaskan laluan Jalan Masjid Negeri sehingga persimpangan Jalan Delima, mengubahsuai persimpangan Jalan Yeap Chor Ee dan persimpangan Jalan Delima.

“Kita juga akan membina tempat letak kereta di sebahagian kawasan lapang dan membina sistem perparitan seperti memasang longkang berbentuk ‘U’ dan pembentung jenis siap.

“Kerja-kerja lain adalah seperti pembersihan, kerja tanah, perabot jalan, pengurusan lalulintas dan pemasangan lampu jalan,” ujarnya pada satu sidang media di Komtar barubaru ini di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Keseluruhan projek dianggarkan berjumlah RM16.1 juta yang mana dua projek telah menjalani fasa implementasi 25 peratus dan satu projek dijangkakan dimulakan pada Ogos 2013 depan.

Turut diumumkan ialah tiga projek menaiktaraf persimpangan lalulintas Lebuhraya Thean Teik/Lorong Batu Lanchang, menaiktaraf Jalan Air Itam di bahagian persimpangan Jalan Masjid Negeri/Jalan Scotland/Jalan Air Itam, menaiktaraf Jalan Gottlieb dan sebahagian Jalan Bagan Jermal yang telah siap sepenuhnya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, semua kerja menaiktaraf tersebut membuktikan komitmen MPPP dalam mengurang dan mengatasi kesesakan trafik di Pulau Pinang.

“Ini adalah salah satu alternatif dan inisiatif MPPP dan Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kesesakan trafik di Pulau Pinang dan memberikan lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya,” ujar beliau.