Kerja pemasangan paip baharu rentas Sungai Perai siap, penyambungan akhir 25 April ini

img 20250419 wa0049

BAGAN JERMAL – Kerja-kerja pemasangan paip baharu berdiameter 1.35 meter (m) merentasi Sungai Perai dekat Kampung Teluk serta Ampang Jajar telah siap sepenuhnya, dan hanya menunggu penyambungan akhir dilaksanakan pada 25 April ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa projek membabitkan kos RM8.7 juta itu adalah penyelesaian akhir bagi isu paip air di Sungai Perai sepertimana yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri pada Januari tahun lepas.

Menurut beliau, paip di bawah air berukuran 1.35m telah pecah pada Disember 2023 dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual (UWSI) yang menjejaskan kira-kira 200,000 pengguna air di Daerah Barat Daya (BDB).

“Selepas tiga operasi menyelam komersial dijalankan berturut-turut untuk mengapit kebocoran pada Januari 2024 tetapi tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan.

“Sebagai penyelesaian jangka sederhana, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah memasang dua unit paip berukuran 600 milimeter (mm) di sepanjang Jambatan Ampang Jajar.

“Dalam tempoh 15 bulan lalu, paip-paip 600mm tersebut telah berfungsi sebagai sebahagian daripada rangkaian paip yang menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke bahagian pulau.

“Apabila paip baharu berukuran 1.35m ini telah disambungkan, maka saluran paip 600mm ini akan dihentikan operasinya, ” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja akhir pemasangan paip baru di Taman Rekreasi Ampang Jajar di sini sebentar tadi.

img 20250419 wa0043img 20250419 wa0016img 20250419 wa0031img 20250419 wa0048

Turut hadir, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan dan wakil syarikat kontraktor bagi projek berkenaan.

Kon Yeow berkata, beliau optimis bahawa operasi penyambungan paip baharu tersebut akan berjalan dengan lancar kerana ia telah dirancang dengan rapi sejak 15 bulan yang lalu.

“Jadi tidak ada alasan untuk berlaku kekecohan seperti sebelum ini kerana operasi penyambungan ini telah lama dirancang,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sementara itu, Pathmanathan menyatakan bahawa projek tersebut merupakan salah satu daripada tiga projek utama yang dilaksanakan oleh PBAPP.

Tambah beliau, PBAPP juga melaksanakan pembaikan saluran paip 700mm bocor, enam kerja menaik taraf rumah pam di LRA Sungai Dua dan penggantian injap 1.2m yang rosak di saluran paip dekat Jalan Pengkalan Tambang.

“Pada tahun 2024, PBAPP mengepam purata sebanyak 386 juta liter sehari (JLH) air terawat dari LRA Sungai Dua ke pulau, tertamanya ke DBD serta untuk menyokong Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP 2024).

“Berdasarkan pengiraan, PBAPP mungkin dapat mengepam 50 JLH lebih banyak air terawat dari Sungai Dua ke pulau mulai Mei 2025, LRA Sungai Dua beroperasi pada kapasiti optimum,” katanya.

Pathmanathan memberitahu bahawa PBAPP juga menjadualkan kerja-kerja 23 projek di sembilan lokasi serentak pada 25 April ini untuk meminimumkan kesulitan kepada pengguna air Pulau Pinang di kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua.

“Sekiranya semua projek ini disiapkan mengikut jadual, perkhidmatan bekalan air dapat dipulihkan mengikut jadual.

“Justeru, PBAPP ingin mengingatkan semua pengguna air yang terjejas supaya merancang lebih awal dan menyimpan bekalan air mencukupi untuk kegunaan selama 24 jam, 48 jam atau 60 jam seperti yang dijadualkan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS