Kerja pembinaan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah kini 94 peratus siap

whatsapp image 2024 04 29 at 11.37.52

GEORGE TOWN – Kerja-kerja pembinaan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang terletak di Seberang Perai Utara kini telah mencapai kadar pembangunan 94 peratus.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja pembinaan galeri warisan arkeologi berkenaan adalah mengikut jadual.

“Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang kini 94 peratus (kadar pembangunan) dijangka dibuka kepada umum dalam bulan Jun nanti,” ujarnya pada sidang media dekat Komtar di sini pagi ini.

img 20230322 wa0035 768x1024
PROF. Datuk Dr. Mokhtar Saidin (berkot hitam) yang mengetuai pasukan Pusat Penyelidikan Arkeologi Universiti Sains Malaysia turut serta dalam misi khas delegasi Pulau Pinang ke Belanda pada Mac 2023.

Mengulas mengenai jumpaan arkeologi termasuk rangka-rangka manusia yang kini disimpan di Leiden, Belanda, Kon Yeow memaklumkan bahawa banyak kertas kerja yang masih perlu disediakan.

Penghantaran pulang rangka-rangka berkenaan adalah melibatkan antara dua negara iaitu Malaysia dan Belanda.

“Oleh itu, ia melibatkan banyak kertas kerja serta sesi pembentangan pada peringkat Jemaah Menteri sebelum ia dibawa balik dan boleh dipamerkan di galeri tersebut,” jelasnya.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah itu lagi, pihaknya kini sedang melihat usaha untuk mewujudkan rangkaian pelancongan arkeologi melibatkan negeri-negeri di Utara Semenanjung.

“Bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi juga di negeri Kedah dan Utara Perak yang mempunyai tarikan arkeologi.

“(Dan) sekiranya semua rangkaian ini dapat dijadikan pakej, maka ia akan menjadi sesuatu yang amat menarik kepada peminat serta pengkaji arkeologi,” ulasnya yang mana pelaksanaan projek galeri berkaitan adalah menerusi kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Sebelum ini, Buletin Mutiara pernah meninjau ke tapak projek galeri berkenaan yang mana difahamkan kerja-kerja pembinaan telahpun bermula sejak November 2022.

dsc 2518 768x513
MUZIUM Negeri Pulau Pinang yang kini sedang dinaik taraf.

Sementara itu, bercakap mengenai kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf Muzium Negeri Pulau Pinang yang terletak di Lebuh Farquhar, Kon Yeow memaklumkan bahawa kerja-kerja luaran telah disiapkan.

Pihak Jabatan Kerja Raya memaklumkan kini hanya tinggal kerja-kerja dalaman sahaja.

“(Dan) memandangkan Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2024, lokasi tersebut boleh digunakan pada penganjuran berkaitan Mei nanti” jelasnya.

whatsapp image 2024 04 29 at 11.37.53
ANTARA penerima insentif pembaikan merakam momen bersama-sama Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Rosidi Hussain (tengah).

Terdahulu, Kon Yeow hadir menyempurnakan penyerahan cek cura kepada 47 penerima Insentif Pembaikan Bangunan Warisan Kategori I Dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town di Komtar.

Difahamkan, insentif pembaikan tersebut adalah selaras dengan matlamat peruntukan RM25 juta melalui Geran Inisiatif Pemuliharaan dan Pemeliharaan Tapak Warisan Dunia oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri Pulau Pinang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Pengurus Besar, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S.Bharati dan Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Cheong Chee Hong antara yang turut serta dalam majlis penyerahan cek cura tersebut.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN