GEORGE TOWN – Projek pembinaan Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus kini berada pada tahap pemajuan 95.91 peratus dengan jangkaan siap pada penghujung bulan Oktober 2021.
Walau bagaimanapun, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) pada 1 Jun lalu, kerja-kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
Laluan tersebut akan dibuka kepada umum menjelang Oktober depan (2021) namun kerana kekangan mendapatkan bekalan bahan binaan semasa pelaksanaan FMCO, maka kerja-kerja pembinaan ditangguhkan buat sementara waktu.
“(Dan) sekiranya pelaksanaan FMCO dilanjutkan lagi, maka ia pasti akan memberi kesan terhadap proses pemajuan projek ini,” ujarnya kepada Buletin Mutiara melalui aplikasi WhatsApp semalam.
Sebagai rekod, Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus pada asalnya dijadualkan siap pada Julai 2020, namun dek kekangan akibat pandemik COVID-19 dan beberapa faktor teknikal lain membabitkan kerja-kerja tambahan maka pemajuan projek berkenaan dilanjutkan ke bulan Mei 2021.
Kemudian, sekali lagi dilanjutkan ke bulan Oktober 2021 akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan FMCO.
Dalam pada itu, Zairil berharap agar kerja-kerja pemajuan projek berkenaan dapat bersambung semula agar laluan tersebut dapat dibuka kepada orang awam menjelang akhir Oktober 2021.
“Secara tidak langsung, (apabila siap kelak) lebuh raya berkembar sepanjang 5.5 kilometer itu dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sehingga 30 peratus terutamanya pada waktu puncak di sekitar Jalan Paya Terubong dan Lebuh Bukit Jambul,” katanya.
Projek bernilai RM545.6 juta itu merupakan laluan alternatif yang menghubungkan Lebuh Raya Thean Tek di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul membabitkan pembinaan sambungan ke Jalan Bukit Kukus.
Manakala, sebahagian pembinaan sambungan lagi melibatkan laluan dari Jalan Bukit Kukus ke Jalan Tun Sardon menuju ke Balik Pulau sepanjang 600 meter.
Terdahulu, pada 8 April 2021, Zairil bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin serta mengadakan lawatan tapak ke projek pembinaan tersebut.
Dalam lawatan tapak tersebut, Zairil memaklumkan bahawa laluan berketinggian 60 meter itu dijangka menjadi lebuh raya paling tinggi di Malaysia mengatasi jambatan Lebuh Raya Rawang – Serendah (Rawang Bypass) yang berketinggian 58.2 meter.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALBUM BULETIN MUTIARA