Kerja pembinaan projek kereta kabel Bukit Bendera berjalan serentak, dijangka siap Disember 2026

dd82c862 ca3a 4afb 833c 24814866860c

KERJA-KERJA pembinaan di tapak projek kereta kabel Bukit Bendera kini giat dijalankan secara serentak di Stesen Taman (Garden Station) dan Stesen Bukit (Hill Station).

 

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Dato’ Cheok Lay Leng ketika dihubungi baru-baru ini berkata, kerja-kerja kaison telah dimulakan di Stesen Taman dan di menara satu hingga tiga.

 

Kerja-kerja tanah di Stesen Taman dijangka akan bermula selepas sambutan Tahun Baharu Cina iaitu pada bulan Februari ini.

 

“Manakala bagi pembangunan struktur binaan pula dijangka pada bulan April 2025 yang mana ketika ini, proses tender sedang dijalankan untuk melantik kontraktor,” ujarnya.

 

 

cheok
CHEOK Lay Leng.

Mengulas lanjut, Lay Leng memaklumkan bahawa secara terperinci, kerja-kerja pembersihan di tapak pembangunan kompleks komersial dan tempat parkir bertingkat akan disiapkan terlebih dahulu.

 

Kerja-kerja pembersihan ini dijangka selesai pada pertengahan bulan Januari ini.

 

“Selain itu, kerja-kerja kaison dan pemasangan cerucuk juga sedang dijalankan di Stesen Taman termasuk pemasangan pilon (pylon) di menara satu hingga tiga.

 

“Bagi tapak pembangunan stesen gelung pembelokan (Turning Station) secara amnya telah selesai dan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan yang mana kita juga menjangkakan akan selesai pada pertengahan Januari ini.

 

“Secara keseluruhan, kerja-kerja pembinaan dijalankan secara serentak dan berperingkat di semua lokasi pembangunan utama,” katanya.

 

Menurut Lay Leng, tahap kemajuan projek ini kini secara keseluruhan adalah kurang daripada lima peratus disebabkan oleh faktor cuaca.

 

“Beberapa bulan lalu, keadaan cuaca agak kurang baik dan sentiasa hujan, jadi kerja-kerja pembersihan dan kerja-kerja tanah di tapak projek tidak dapat dijalankan.

 

Kemajuan projek ini seperti yang saya maklumkan sebelum ini, bergantung pada keadaan cuaca dan juga mengambil kira faktor keselamatan.

 

“Saya yakin, selepas pelantikan kontraktor nanti, kerja-kerja pembinaan akan lebih cepat dijalankan dan akan siap sedikit lewat iaitu pada Disember 2026.

“(Dan) selepas itu akan mengambil masa antara tiga hingga enam bulan lagi sebelum kereta kabel tersebut boleh beroperasi dan dibuka kepada umum ,” jelasnya.

3fe7ffa0 8012 476b 91b2 6a49efb5829f
ANTARA lencongan bagi mengawal lalu lintas di tapak pembinaan.

Sebelum ini, Buletin Mutiara melaporkan bahawa PHC giat melaksanakan kerja-kerja penambunan tanah dan pemasangan struktur binaan sementara.

 

Malah, turut dilaporkan bahawa proses pemindahan penjaja ke tapak sementara bersebelahan Kompleks Pentadbiran Jabatan Taman Botani dekat Jalan Kebun Bunga selesai pada 1 Oktober lalu.

763ebc24 36d7 4978 96dd 9f7cb5eef2d6
PENGAWAL keselamatan turut diletakkan bagi kawalan lalu lintas di sini.

Hasil tinjauan Buletin Mutiara pada 10 Januari lalu mendapati bahawa kawalan lalu lintas dilaksanakan sepanjang Jalan Kebun Bunga menuju ke Taman Botani.

 

Difahamkan, Taman Botani masih dibuka kepada pengunjung seperti biasa, hanya kawalan lalu lintas dilakukan, membabitkan penutupan sebahagian jalan bermula persimpangan Jalan Kebun Bunga ke Lorong Air Terjun sebelum Pangsapuri Park Avenue.

 

Projek yang bernilai RM245juta itu bakal mempunyai jajaran kereta kabel sepanjang 2.73 kilometer bermula di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di bahagian belakang Balai Polis Bukit Bendera.

 

Apabila siap kelak, ia bakal menjadi salah satu perkhidmatan alternatif kepada pengunjung untuk ke puncak pusat peranginan Bukit Bendera.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN